MUKAH: Integriti perlu dijadikan budaya kerja berterusan dalam kalangan penjawat awam bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti, telus dan mendapat kepercayaan masyarakat.
Residen Bahagian Mukah, Bujang Rahman Seli berkata, kecemerlangan organisasi bukan sahaja diukur berdasarkan pencapaian sasaran kerja dan kecekapan pengurusan, malah turut bergantung pada amalan nilai amanah, kejujuran, ketelusan serta akauntabiliti setiap pegawai.
Menurut beliau, kompetensi tanpa integriti boleh menjejaskan kepercayaan rakyat, manakala gabungan kedua-dua nilai itu mampu melahirkan penjawat awam yang cekap dan berprinsip dalam setiap keputusan serta tindakan.
“Setiap pegawai hendaklah sentiasa berpegang teguh pada peraturan, prosedur dan etika perkhidmatan serta berani menolak sebarang bentuk salah laku, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penangguhan Program Integriti Teras Kompetensi Cemerlang Pentadbiran Bahagian Mukah 2026 di Dewan Majlis, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak (Bahagian Mukah) di sini, pada Khamis.
Bujang Rahman berkata, kejayaan program berkenaan tidak seharusnya dinilai berdasarkan kehadiran peserta atau kelancaran pelaksanaannya semata-mata, sebaliknya perlu diukur melalui perubahan sikap, peningkatan kesedaran dan amalan kerja yang lebih berintegriti.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua peserta supaya mengaplikasikan ilmu dan pengajaran yang diperoleh dalam tugas harian, termasuk melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab, memberikan layanan adil kepada pelanggan serta menggunakan sumber kerajaan secara berhemah.
Tegasnya lagi, pembudayaan integriti merupakan tanggungjawab bersama yang perlu diperkukuh menerusi kepimpinan beretika, pemantauan berterusan dan persekitaran kerja yang sihat serta terbuka kepada teguran membina.
Beliau berharap program berkenaan menjadi pemangkin kepada pembentukan penjawat awam yang lebih berintegriti, kompeten, berdisiplin dan cemerlang dalam melaksanakan amanah demi kepentingan masyarakat.
Beliau turut mengingatkan bahawa kepercayaan yang dibina selama bertahun-tahun boleh terjejas akibat satu tindakan tidak berintegriti, justeru setiap penjawat awam bertanggungjawab memelihara nama baik jabatan masing-masing.
Program itu turut menampilkan pengisian ceramah dari penceramah jemputan Akademi Magnet Sukses, Amin Idris serta diadakan Sesi Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR), disaksikan oleh Penolong Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Sibu, Ikhwan Mohd Ibrahim. -EDISI UKAS