KUCHING: Wakil Sarawak, Hadi Mohd Sharkawi dari Kuching muncul johan Qari pada Majlis Tilawah Al-Quran Bandaraya Se-Borneo (MTQBB) 2026 sekali gus membawa pulang hadiah lumayan berjumlah RM20,000.
Tempat kedua kategori sama dimenangi Ahmad Suaib dari Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia yang menerima wang tunai RM14,000, manakala Mohamad Faizzil Affandi dari Miri, Sarawak meraih tempat ketiga dengan hadiah RM10,000.
Bagi kategori Qariah, Nadita Aisyah Fitri dari Samarinda, Kalimantan Timur, Indonesia dinobatkan sebagai johan dan membawa pulang RM20,000.
Munzalina Abdul Rauf dari Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia meraih naib johan untuk menerima hadiah RM14,000, manakala Fasihah Arpa dari Kuching, Sarawak tempat ketiga untuk memenangi RM10,000.
Dalam acara hafazan bagi kategori Hafiz, Mohammad Zaini Na’im dari Samarinda, Kalimantan Timur, Indonesia muncul johan dengan hadiah RM10,000, diikuti Muhammad Fathi Safwan Eshak dari Kota Kinabalu, Sabah yang menerima RM8,000.
Ahmad Khothib dari Banjarmasin, Kalimantan Selatan, Indonesia pula menduduki tempat ketiga dengan hadiah RM6,000.
Sementara kategori Hafizah menyaksikan Aisyah Yussof dari Kuching, Sarawak dinobatkan sebagai johan untuk menerima RM10,000.
Khansa Ilmiya dari Samarinda, Kalimantan Timur, Indonesia meraih naib johan dengan hadiah RM8,000, manakala Nurul Izzah Mukhali dari Miri, Sarawak memperoleh tempat ketiga dengan wang tunai RM6,000.
Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi di Dewan Kompleks Islam Sarawak, pada Khamis.
Keputusan pertandingan diumumkan Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) merangkap Pengerusi Jemaah Hakim, Datu Mual Suaud.
MTQBB 2026 mempertandingkan dua acara utama, iaitu Tilawah Al-Quran bagi kategori Qari dan Qariah serta Hafazan Al-Quran bagi kategori Hafiz dan Hafizah, dengan penyertaan seramai 32 peserta dari beberapa bandar di Borneo.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha serta kenamaan lain. - EDISI UKAS