PAKAN: Masyarakat Pakan digesa meningkatkan kemahiran, memperluas pengetahuan dan meneroka peluang baharu bagi memacu pembangunan serta pertumbuhan ekonomi daerah.
Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Tan Sri William Mawan Ikom berkata, kesediaan menerima perubahan dan meningkatkan keupayaan diri penting bagi memastikan masyarakat terus berdaya saing.
Menurutnya, sektor pertanian perlu terus diperkukuh melalui peningkatan kemahiran dan produktiviti bagi mengembangkan potensi ekonomi setempat.
“Jangan biarkan diri kita ketinggalan dalam arus perubahan.
"Kita perlu sentiasa bersedia untuk maju ke hadapan dan mengambil peluang yang boleh membawa kebaikan kepada masyarakat serta daerah Pakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pesta Sosial dan Kebudayaan Pakan di Dewan Masyarakat Pakan pada Rabu.
Dalam pada itu, Tan Sri William turut menekankan kepentingan kerjasama dan penglibatan masyarakat dalam menyumbang idea serta menyokong usaha pembangunan daerah.
Beliau menegaskan bahawa semangat kebersamaan dan rasa cinta terhadap daerah sendiri perlu diterjemah melalui tindakan bagi memastikan Pakan terus maju dan masyarakat menikmati manfaat pembangunan. -EDISI UKAS