Tanaman Nanas Berpotensi Jana Pendapatan Baharu Masyarakat Sungai Asap
SUNGAI ASAP: Tanaman nanas berpotensi menjadi sumber pendapatan tambahan kepada masyarakat luar bandar sekiranya diusahakan melalui penggunaan teknologi bersesuaian dan pengurusan pertanian yang sistematik.
Bagi merealisasikan potensi tersebut, peningkatan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pertanian penting untuk membantu masyarakat meneroka peluang ekonomi baharu, khususnya di kawasan BRS Sungai Asap.
Sehubungan itu, Kursus Diseminasi Bersasar Asas Teknologi dan Pengurusan Tanaman Nanas anjuran Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Negeri Sarawak dengan kerjasama Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Murum diadakan selama dua hari bermula 28 hingga 29 Oktober bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta dalam teknologi serta pengurusan tanaman nanas.
Selain latihan, pembangunan projek rintis penanaman nanas seluas kira-kira enam ekar di Stesen Pertanian Sungai Asap turut dicadangkan, tertakluk kepada kesesuaian tanah dan kelulusan pihak berkaitan.
Projek itu berpotensi dijadikan pusat pengeluaran sulur atau benih nanas berkualiti serta tapak demonstrasi bagi memperkenalkan teknologi dan amalan pertanian terbaik kepada masyarakat setempat.
Usaha memperluas aktiviti pertanian di kawasan berkenaan juga memerlukan sokongan infrastruktur jalan pertanian, latihan berterusan dan akses kepada pasaran bagi membantu meningkatkan produktiviti serta peluang pemasaran hasil.
Dalam pada itu, cadangan pembangunan Smart Agriculture Transformation Centre (SATC) di BRS Sungai Asap turut dilihat sebagai antara pendekatan untuk menyokong penggunaan teknologi moden dan meningkatkan produktiviti sektor pertanian di kawasan berkenaan.-EDISI UKAS