Pembangunan Infrastruktur Sarawak Perlu Seiring Penghasilan Tenaga Mahir
BINTULU: Pembangunan infrastruktur dan pelabuhan di Sarawak perlu bergerak seiring dengan usaha melahirkan tenaga kerja tempatan berkemahiran bagi memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi berkata, perkembangan teknologi digital, automasi dan kejuruteraan moden meningkatkan permintaan terhadap tenaga mahir, khususnya di kawasan perindustrian seperti Bintulu dan Samalaju.
“Pembangunan infrastruktur dan pelabuhan di Sarawak perlu bergerak seiring dengan usaha melahirkan bakat tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutupan Seminar Awareness to STEM: Explore the World of Robotics 2026 di Dewan Kuliah Utama, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Jabatan Tenaga Manusia (JTM) Kampus Bintulu, pada Khamis.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Dato Mohamad Zahri Samingon berkata, Sarawak memerlukan kira-kira 35,000 tenaga mahir bagi memenuhi keperluan industri negeri, termasuk 10,000 tenaga dalam bidang kimpalan menjelang 2030.
Beliau berkata, keperluan tenaga mahir dalam bidang kimpalan sahaja dijangka mencecah 10,000 orang menjelang 2030, sekali gus menunjukkan kepentingan memperkukuh latihan teknikal bagi memenuhi permintaan industri di Sarawak.
Pendedahan awal kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) penting untuk menarik minat generasi muda terhadap bidang teknikal dan menyediakan mereka bagi memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.
Menurutnya, kadar kebolehpasaran graduan ADTEC JTM meningkat kepada 98 peratus pada 2026 berbanding 95.5 peratus pada 2025.
ADTEC JTM menawarkan latihan dalam pelbagai bidang, termasuk elektrik, mekatronik, automotif, kimpalan, perpaipan minyak dan gas serta penyaman udara dan penyejukan.
Sehubungan itu, kerjasama antara sekolah, institusi TVET dan pihak industri perlu diperkukuh bagi memastikan latihan yang ditawarkan selari dengan keperluan sebenar industri.
Dalam usaha memperluas pendedahan pelajar terhadap teknologi, JTM turut merancang menjadikan pertandingan robotik sebagai program tahunan bagi menggalakkan lebih ramai generasi muda meneroka bidang STEM dan kemahiran teknikal.-EDISI UKAS