BETONG: Sebuah keluarga di Kampung Tengah, Betong yang kehilangan hampir 90 peratus kediaman mereka akibat kebakaran pada malam Jumaat akan dibantu menerusi penyelarasan Bantuan Ehsan Rumah Terbakar Kerajaan Sarawak bagi membolehkan kediaman berkenaan dibina semula.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata, pihaknya akan membantu menyelaras permohonan bantuan berkenaan dengan Pejabat Residen supaya proses penyaluran bantuan dapat dilaksanakan dengan segera dan teratur.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke atas keluarga mangsa di Masjid Kampung Tengah, di sini pada Sabtu.
Menurutnya, keutamaan ketika ini adalah memastikan keluarga terjejas mendapat bantuan sewajarnya bagi meringankan beban mereka selepas kehilangan sebahagian besar kediaman akibat kejadian itu.
Dalam lawatan tersebut, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyalurkan bantuan awal berupa bakul makanan, tilam, bantal dan selimut bagi memenuhi keperluan asas keluarga berkenaan.
Beliau turut berharap Pejabat Residen dapat menyelaras urusan bantuan secara cekap dan telus bagi membantu keluarga terbabit mendapatkan semula tempat tinggal yang selamat.
Kebakaran dilaporkan berlaku sekitar jam 8.30 malam Jumaat ketika penghuni rumah tiada di kediaman kerana bekerja.
Mereka hanya menyedari kejadian itu selepas pulang dan mendapati api telah memusnahkan hampir keseluruhan rumah berkenaan. -EDISI UKAS