Ziarah Mahabbah Perkukuh Hubungan Institusi Islam & Komuniti Di Kabong
KABONG: Hubungan antara institusi Islam dengan masyarakat setempat terus diperkukuh menerusi Program Iringan Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak Zon Tengah 2 yang berlangsung di Masjid As-Sobirin, di sini pada Sabtu.
Program anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) itu menjadi wadah mengeratkan silaturahim antara pengurusan institusi Islam, pemimpin masyarakat dan komuniti, selain menyemarakkan penghayatan Islam dalam kehidupan bermasyarakat.
Antara pengisian utama pada hari pertama ialah Ceramah Perdana Ziarah Mahabbah yang disampaikan Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Datu Ustaz Mual Suaud.
Program Zon Tengah 2 itu meliputi kawasan Sibu, Sarikei dan Betong dengan memberi penekanan kepada pemupukan ukhuwah Islamiah, nilai mahabbah serta perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Penganjuran program seumpama itu diharap dapat memperkukuh hubungan antara institusi agama dengan komuniti, sekali gus mewujudkan suasana kehidupan bermasyarakat yang lebih harmoni berlandaskan nilai kasih sayang, hormat-menghormati dan ukhuwah. -EDISI UKAS