TYT Sarawak & Isteri Serikan Festival Gendang Sarawak 2026
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, berkenan menghadiri sekali gus menyerikan Majlis Perasmian Festival Gendang Sarawak 2026 yang berlangsung di Tebingan Kuching, pada Sabtu.
Ketibaan pasangan kenamaan pada kira-kira jam 8 malam itu disambut oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Festival anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) berkenaan menghimpunkan pelbagai penggiat seni dan budaya menerusi persembahan yang mengetengahkan kepelbagaian warisan serta identiti masyarakat di Borneo.
Antara tarikan utama festival ialah persembahan istimewa Nadi Borneo bertemakan ‘Dari Sungai Menyapa Dunia’ yang menghimpunkan seramai 78 artis dan peserta dalam satu persembahan khas.
Persembahan berkenaan menampilkan gabungan elemen seni, muzik dan kebudayaan yang mencerminkan kekayaan warisan Borneo, sekali gus memberikan pengalaman seni persembahan yang lebih menyeluruh kepada pengunjung.
Festival tersebut turut menampilkan barisan penggiat seni dan kumpulan persembahan, antaranya Orkestra Tradisional Malaysia dari Istana Budaya, Andrewson Ngalai, Rodriguez Wan, Haziq Rosebi dan Syura.
Turut memeriahkan acara ialah Kumpulan Kesenian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kumpulan Kesuma Tari, Persatuan Silat Banteng Betawi serta Tyng Tyng Academy.
Selain persembahan pentas, pengunjung turut berpeluang mengunjungi Festival Kraf Borneo 2026 yang mengetengahkan hasil kraf dan kreativiti tempatan.
Kemeriahan acara turut dilengkapi penganjuran Sarawak Regatta 2026, sekali gus menawarkan pengalaman kepada pengunjung untuk menikmati kepelbagaian tarikan seni, budaya, kraf dan warisan tradisional Sarawak dalam satu rangkaian acara.
Penganjuran festival itu menjadi antara usaha memperkenalkan seni persembahan tradisional dan kepelbagaian budaya Borneo kepada khalayak lebih luas, selain memperkukuh daya tarikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan berasaskan seni dan warisan.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Dato Hilmy Othman, Setiausaha Tetap MTCP Datu Morshidi Fredrick, Residen Bahagian Kuching Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS