MUKAH: Penyertaan 795 peserta daripada 25 kontinjen dalam perarakan sejauh 1.6 kilometer menjadi tarikan utama Pesta Tanglung Bahagian Mukah 2026 yang menghimpunkan kira-kira 7,000 pengunjung.
Pesta edisi kelima sejak diperkenalkan pada 2022 itu disempurnakan Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib.
Perarakan yang mengelilingi kawasan pasar Mukah itu menampilkan pelbagai rekaan tanglung gergasi hasil kreativiti peserta daripada jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan serta Negeri, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), persatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sekolah rendah dan menengah sekitar Bahagian Mukah.
Kepelbagaian bentuk, warna dan hiasan tanglung menyerlahkan kreativiti setiap kontinjen, sekali gus memberikan suasana meriah sepanjang perarakan berlangsung.
Turut hadir, Residen Bahagian Mukah, Bujang Rahman Seli, Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip, Penghulu Henry Lee Liong Ing dan Temenggung Hendi Suhai. -EDISI UKAS