MCS Mudahkan Akses Penduduk Kabong Kepada Perkhidmatan Kerajaan
KABONG: Penduduk Kabong dan kawasan sekitarnya berpeluang mendapatkan pelbagai perkhidmatan serta menyelesaikan urusan berkaitan agensi kerajaan di satu lokasi menerusi Program Perkhidmatan Komuniti Bergerak (MCS) Siri 6/2026 di Pusat Penjaja Kabong, pada Sabtu.
Program anjuran Perbendaharaan Malaysia Sarawak, Kementerian Kewangan Malaysia itu menghimpunkan pelbagai jabatan dan agensi bagi mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada masyarakat, sekali gus mengurangkan keperluan penduduk untuk berkunjung ke pejabat agensi masing-masing bagi mendapatkan maklumat, khidmat nasihat dan menyelesaikan urusan tertentu.
Antara agensi yang menyediakan perkhidmatan ialah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Akauntan Negara Malaysia, Jabatan Perangkaan Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Bank Simpanan Nasional (BSN) serta Agrobank.
Turut mengambil bahagian ialah Perbendaharaan Malaysia Sarawak, Commerce Dot Com Sdn Bhd dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), selain beberapa agensi kerajaan serta badan berkaitan yang lain.
Selain menyediakan kaunter perkhidmatan, program yang berlangsung dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang itu turut menawarkan Program Jualan Rahmah MADANI, pertandingan mewarna, cabutan tiket bertuah dan demonstrasi masakan bagi menarik penyertaan masyarakat setempat.
Penganjuran MCS mencerminkan pendekatan penyampaian perkhidmatan kerajaan secara bersepadu dengan membawa agensi terus kepada komuniti, khususnya bagi memudahkan penduduk di kawasan luar bandar mendapatkan akses kepada pelbagai kemudahan dan urusan kerajaan tanpa perlu menempuh perjalanan ke lokasi pejabat agensi yang berbeza. -EDISI UKAS