GEMA 2026 Perkukuh Perpaduan, Pembangunan Masyarakat Desa Di Batang Sadong
GEDONG: Program Gerakan Massa Masyarakat Desa (GEMA) @KKDW KEMAS Peringkat Parlimen Batang Sadong 2026 menjadi platform memperkukuh perpaduan, menyemarakkan semangat kebersamaan serta meningkatkan pembangunan masyarakat menerusi pelbagai pengisian yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Penasihat PKS, Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Dato Sri Mohd Naroden Majais berkata, GEMA merupakan wadah menyatukan rakyat dan menggerakkan masyarakat ke arah kehidupan lebih baik menerusi penglibatan aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
“Pembangunan sesebuah kawasan tidak seharusnya diukur berdasarkan kemajuan infrastruktur, kemudahan awam atau peningkatan ekonomi semata-mata, sebaliknya turut bergantung kepada kualiti insan yang membentuk masyarakat tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program berkenaan di Dewan Datuk Patinggi Ali Gedong, di sini pada Ahad.
Pada majlis sama, seramai 97 peserta warga emas dari enam kampung menerima sijil penyertaan Kelas Pendidikan Literasi Fungsional (PLF) menerusi majlis graduasi yang diadakan bersempena program berkenaan.
Peserta tersebut terdiri daripada penduduk Kampung Ensengai Melayu, Kampung Ensengai Iban, Kampung Terasi, Kampung Pantong Melayu, Kampung Sungai Buluh dan Kampung Sageng Hulu.
Program PLF yang dahulunya dikenali sebagai Kelas Pembelajaran Dewasa (Buta Huruf) kini diberikan nafas baharu menerusi pendekatan dan modul pembelajaran yang lebih baik bagi meningkatkan tahap literasi serta pengetahuan golongan dewasa. -EDISI UKAS