Bantuan Lesen Memandu B2 Buka Peluang Kepada Golongan B40, Warga Emas Dan Belia
SIBURAN: Seramai 808 peserta menerima manfaat menerusi Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026, sekali gus membuka peluang kepada golongan berpendapatan rendah (B40), warga emas dan golongan muda untuk memiliki lesen memandu yang sah tanpa dibebani kos tinggi.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), Datuk Dr Jerip Susil berkata, ini turut membuka peluang kepada lebih ramai anggota masyarakat untuk memiliki lesen memandu yang sah dan meningkatkan mobiliti diri.
“Inisiatif berkenaan mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan peluang mendapatkan lesen memandu secara sah dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, termasuk penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman yang berdepan kekangan kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Lesen Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026, di sini pada Ahad.
Tambahnya, pemilikan lesen memandu bukan sahaja penting bagi memastikan seseorang mematuhi undang-undang jalan raya, malah dapat membuka lebih banyak peluang kepada penerima, khususnya golongan belia, untuk meningkatkan mobiliti diri, mendapatkan pekerjaan dan menjana pendapatan.
Dalam pada itu, Datuk Dr Jerup menegaskan aspek keselamatan jalan raya perlu diberikan perhatian serius, khususnya dalam kalangan penunggang motosikal yang merupakan antara pengguna jalan raya paling berisiko terlibat dalam kemalangan maut.
Menurutnya, berdasarkan statistik Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bagi 2025, sebanyak 6,537 kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan di seluruh negara, dengan kira-kira 66 peratus daripadanya melibatkan penunggang motosikal.
Di Sarawak pula, sebanyak 1,973 kemalangan motosikal direkodkan, termasuk 230 kes kemalangan maut yang melibatkan penunggang dan pembonceng.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua penerima lesen supaya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya dengan memakai topi keledar yang diiktiraf SIRIM serta memastikan pemakaiannya dilakukan dengan betul.
Turut hadir, Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin, Ketua Bahagian Pengurusan dan Korporat JPJ Sarawak Christopher Boniface Barau dan Pegawai Daerah Siburan Ranum Bari. -EDISI UKAS