19 Keluarga Di Samarahan Bakal Nikmati Kediaman Lebih Selesa Menerusi PPRS
KOTA SAMARAHAN: Seramai 19 keluarga di Daerah Samarahan bakal menikmati kediaman lebih selesa menerusi pelaksanaan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) yang melibatkan pembinaan rumah baharu dan kerja-kerja baik pulih kediaman.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, daripada jumlah itu, sembilan buah rumah akan dibina baharu dengan peruntukan RM85,000 bagi setiap unit termasuk kemudahan asas bekalan air dan elektrik, manakala 10 lagi rumah akan dibaik pulih dengan bantuan sehingga RM20,000 setiap satu.
“Pelaksanaan program berkenaan merupakan usaha berterusan kerajaan membantu golongan yang memerlukan, khususnya dalam menyediakan kediaman yang lebih selamat dan selesa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penyerahan Cek Cura Program PPRS SAP 2/2026 Daerah Samarahan di Dewan Kampung Niup, di sini pada Ahad.
Tambahnya, keluasan rumah baharu kini ditingkatkan daripada 660 kaki persegi kepada 680 kaki persegi bagi memberikan ruang kediaman yang lebih selesa kepada penerima.
Menurut Datuk Rubiah, pemimpin masyarakat diminta memainkan peranan memantau kemajuan kerja supaya pembinaan serta pembaikan dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan dan menepati kualiti yang diharapkan memandangkan kontraktor bagi pelaksanaan projek telah dikenal pasti.
Katanya, pemantauan berterusan penting bagi memastikan setiap penerima benar-benar mendapat manfaat daripada bantuan yang disediakan.
Majlis penyerahan cek cura itu menyaksikan 19 penerima menerima bantuan keseluruhan berjumlah RM965,000 menerusi GIATMARA Kota Samarahan selaku agensi pelaksana.
Daripada jumlah tersebut, sembilan penerima menerima peruntukan pembinaan rumah baharu berjumlah RM765,000, manakala 10 penerima menerima bantuan baik pulih rumah berjumlah RM200,000. -EDISI UKAS