Lavinia Tinggal Selangkah Lakar Sejarah Tersendiri
KUCHING: Pemain tenpin boling remaja, Lavinia Kho Jia Jie tinggal selangkah untuk melakar sejarah tersendiri dalam kejohanan SSC-ABAS U21 Roll-Off 2026 selepas melakar kemenangan ke-19 dalam aksi berlangsung di Megalanes Sarawak, Batu Kawa baru-baru ini.
Beliau menduduki tempat teratas keseluruhan dengan catatan mengagumkan 482 pin, melebihi purata 200 pin serta purata kejohanan sebanyak 240 dalam Roll-Off Oktober 2026.
Keputusan terbaru ini terus memanjangkan rentetan kemenangannya yang luar biasa, selepas beliau mengesahkan gelaran Perseorangan Perempuan kesembilan berturut-turut dalam siri kedua SSC-ABAS U21 Roll-Off 2026.
Lavinia sebelum ini melakar sejarah dalam siri pertama apabila memenangi kesemua 10 gelaran Perseorangan Perempuan untuk merangkul gelaran Juara Grand Slam.
Dengan sembilan kemenangan berturut-turut yang sudah berada dalam genggaman bagi siri kedua, beliau kini hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk melengkapkan satu lagi rekod sempurna.
Kemenangan pada Roll-Off November ini bakal mencatatkan rekod 20 gelaran Perseorangan Perempuan berturut-turut merentasi kedua-dua siri, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pertandingan tersebut.
Tempat kedua kategori itu dirangkul Isabel Mok Yi Nuo, manakala Joyce Lidwina Wilfred Vincent tempat ketiga.
Bukan itu sahaja, Lavinia turut merangkul Anugerah Skor Tertinggi (High Game) kategori perempuan dengan catatan 280.
Turut menyertai Lavinia selaku pencatat jatuhan pin terbaik bulanan ialah Saiful Iman Shah Abdullah yang mencatatkan skor tertinggi individu bagi kategori lelaki dengan 290 pin.
Pertandingan bulan Oktober turut menyaksikan persembahan hebat merentasi pelbagai bahagian umur, dengan beberapa pemain bowling berjaya menambah nama mereka dalam senarai pemenang.
Bagi kategori Perseorangan Lelaki, Muhammad Isyraq Iqbal Ramadhan muncul juara, mengekori di tempat kedua ialah Gerald Ethan Tony manakala tempat ketiga milik Muhammad Qaish Rayyan Mohamad Sabri.
Sementara itu, Lavinia menambah koleksi kejayaannya apabila turut memenangi kategori Bawah 21 Perempuan selepas mengatasi Claudia Kumang Jakson.
Manakala Muhammad Isyraq Iqbal dan Eldred Kho Yek Zhen masing-masing menduduki tempat pertama dan kedua kategori Bawah 21 Lelaki.
Bagi kategori B16 Lelaki, Gerald Ethan muncul johan, disusuli Muhammad Qaish Rayyan tempat kedua dan Joses Ivan Tony ketiga.
Arwynn Galleina Arthur Ray pula mengungguli kategori B16 Perempuan, Anathacia Gadding John Lon kedua dan Nur Qaseh Batrisyia Mohammad Nizam ketiga.
Bagi kategori B13 Lelaki, Muhammad Amzar Ahmad Syukri mengesahkan kejuaraan, sambil Lee Tee Ker tempat kedua dan Melvin Voong Zheng Feng ketiga.
Joyce Lidwina Wilfred Vincent pula unggul dalam kategori B13 Perempuan, diekori Kueh Wan Ting tempat kedua dan Clariessa Evalienna Francis ketiga.
Aksi kategori B11 Lelaki tidak kurang menariknya menyaksikan Jonas Yap Zao Min muncul johan, Alfred Phang Kang Yee naib johan dan Jared Yap Zao Fung ketiga.
Manakala Isabel Mok Yi Nuo dan Eleanor Rainner Harman masing-masing menduduki slot pertama dan kedua kategori B11 Perempuan.
Majlis penyampaian hadiah telah dihadiri oleh Timbalan Presiden Persatuan Tenpin Boling Amatur Sarawak (ABAS), Shaifulbahri Shukri dan Naib Presiden ABAS, Robert Lu Nam Min.
Kehadiran mereka mencerminkan sokongan berterusan terhadap pembangunan tenpin boling remaja serta peluang yang disediakan bagi atlet muda untuk beraksi dalam pertandingan berkala.
Dengan tirai pertandingan Oktober dilabuhkan, tumpuan kini beralih kepada Roll-Off November yang bakal menjadi kemuncak penutup siri kedua SSC-ABAS U21 Roll-Off 2026.
Semua mata akan tertumpu kepada Lavinia dalam usahanya memburu gelaran Perseorangan Perempuan ke-10 berturut-turut untuk siri kedua, seterusnya berpeluang mencipta pencapaian luar biasa 20 gelaran berturut-turut merentasi kedua-dua siri. - EDISI UKAS