RM305,000 Disalur Bantu Naik Taraf Empat Masjid Di Kota Samarahan
KOTA SAMARAHAN: Sebanyak RM305,000 diperuntukkan menerusi Geran Peruntukan Khas Projek Mesra Rakyat Ahli Parlimen Kota Samarahan 2026 bagi membantu kerja-kerja penambahbaikan dan menaik taraf empat masjid di kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, peruntukan tersebut melibatkan Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden sebanyak RM20,000, Masjid Darul Sabirin, Kampung Empila (RM200,000), Masjid Nurul Islam, Kampung Pinang (RM45,000) dan Masjid Darul Ehsan, Kampung Reban (RM40,000).
Menurutnya, bantuan berkenaan disalurkan bagi memastikan kemudahan rumah ibadat terus berada dalam keadaan baik dan selesa untuk kegunaan masyarakat setempat.
“Peruntukan ini diharap dapat membantu pihak pengurusan masjid melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan yang diperlukan supaya kemudahan rumah ibadat dapat digunakan dengan lebih selesa oleh masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan peruntukan berkenaan di Dewan Kampung Niup, di sini pada Ahad.
Tambahnya, keperluan setiap masjid diberi perhatian berdasarkan keadaan semasa, khususnya premis yang memerlukan kerja pembaikan dan penambahbaikan lebih menyeluruh.
Datuk Rubiah memberitahu, sokongan terhadap pembangunan kemudahan masyarakat termasuk rumah ibadat merupakan antara usaha berterusan bagi memastikan keperluan penduduk di kawasan Parlimen Kota Samarahan terus diberi perhatian.
Jelasnya, penyaluran geran khas itu sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh kemudahan keagamaan dan kesejahteraan komuniti setempat. -EDISI UKAS