Penduduk Sebuyau Mendapat Akses Terus Perkhidmatan, Maklumat Agensi Kerajaan
SEBUYAU: Penduduk Daerah Sebuyau berpeluang mendapatkan maklumat, khidmat nasihat dan perkhidmatan secara terus daripada pelbagai jabatan serta agensi kerajaan menerusi Program Randau Solidariti Komuniti Bahagian Samarahan Tahun 2026.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, program itu menghimpunkan kerajaan, agensi dan masyarakat dalam usaha memperkukuh hubungan serta memupuk semangat kebersamaan.
“Semangat solidariti yang dipupuk melalui program ini diteruskan walaupun selepas program berakhir, demi memperkukuh kesejahteraan masyarakat di Daerah Sebuyau dan Bahagian Samarahan serta menyumbang kepada keharmonian dan kemakmuran Sarawak secara keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Rais Ahmat pada Majlis Penangguhan Program Randau Solidariti Komuniti Bahagian Samarahan Tahun 2026 di Rumah Panjang Gindi, Kampung Lunying, di sini pada Ahad.
Menurutnya, sikap saling menghormati dan membantu perlu terus diperkukuh bagi memastikan kesejahteraan komuniti, khususnya di Daerah Sebuyau.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti diadakan termasuk pameran dan kaunter khidmat nasihat jabatan serta agensi kerajaan yang membolehkan penduduk berurusan dan mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan yang disediakan.
Program itu turut menampilkan Mini Solidariti Townhall yang memberi tumpuan kepada pengukuhan perpaduan dan keharmonian komuniti menerusi sesi perkongsian oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).
Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula berkongsi mengenai peranan masyarakat dalam pencegahan jenayah, khususnya ancaman jenayah siber dan penipuan dalam talian.
Sesi dialog bersama komuniti turut melibatkan wakil Pejabat Daerah Sebuyau, JPNIN Negeri Sarawak, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Samarahan, Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Negeri Sarawak.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk pembangunan komuniti, kesejahteraan sosial, sokongan masyarakat, kesedaran kesihatan, keselamatan digital serta langkah pencegahan jenayah siber. -EDISI UKAS