Bintangor Powerboat Race Perkukuh Perpaduan, Semarak Sukan Air
BINTANGOR: Penganjuran Bintangor Powerboat Race 2026 Edisi Ke-11 bukan sahaja menyemarakkan aktiviti sukan air, malah menjadi platform memperkukuh perpaduan masyarakat, memupuk gaya hidup sihat dan menggalakkan semangat kesukanan dalam kalangan komuniti setempat.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, penganjuran acara berkenaan turut mencerminkan semangat kerjasama, disiplin dan daya saing tinggi dalam kalangan peserta.
Menurut beliau, aksi mencabar peserta serta deruan enjin bot laju di Sungai Rajang, Bintangor bukan sahaja menarik perhatian pengunjung, malah menyatukan masyarakat menerusi sokongan terhadap acara sukan tersebut.
“Melalui penganjuran acara ini, kita menghidupkan budaya sihat, memperkukuh keharmonian dan kebanggaan bersama warga Sarikei dan Meradong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penangguhan dan Penyampaian Hadiah Race 2 Bintangor Powerboat Race 2026 Edisi Ke-11 di Tebingan Sungai Rajang, Bintangor pada Ahad.
Acara anjuran Majlis Daerah Maradong dan Julau (MDMJ) itu berjaya menarik kehadiran kira-kira 1,000 pengunjung.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Huang menegaskan komitmennya untuk terus menyokong pembangunan sukan serta kesejahteraan masyarakat di kawasan Sarikei dan Bintangor menerusi penyediaan dan penambahbaikan kemudahan sukan.
Pada majlis sama, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada MDMJ bagi menyokong penganjuran Bintangor Powerboat Race.-EDISI UKAS