Program Sarawak Regional Governance Leadership Perkukuh Integriti dan Tadbir Urus
KUCHING: Penganjuran Sarawak Regional Governance Leadership Programme (SRGLP) menjadi platform dalam memperkukuh integriti, meningkatkan keupayaan kepimpinan serta memantapkan amalan tadbir urus dalam organisasi, khususnya bagi menangani risiko rasuah dan salah guna kuasa.
Program yang diadakan di Pullman Hotel Kuching dari 2 hingga 5 November ini menghimpunkan pelbagai pendekatan dan perspektif antarabangsa berkaitan integriti serta tadbir urus, termasuk perkongsian pengalaman, contoh amalan terbaik dan perbincangan berasaskan kajian kes bagi membantu peserta memahami cabaran sebenar dalam pelaksanaan tanggungjawab masing-masing.
Dianjurkan oleh Sarawak Centre of Performance Excellence (SCOPE) dengan penglibatan Sarawak Integrity and Ombudsman Unit (SIU) serta International Anti-Corruption Academy (IACA), program itu turut menyediakan ruang kepada peserta untuk bertukar pandangan, berkongsi pengalaman dan mempelajari pendekatan berkesan dalam memperkukuh integriti institusi.
Antara fokus utama program ialah kerjasama antarabangsa dalam memerangi rasuah, penggunaan data raya, data terbuka dan kecerdasan buatan (AI) bagi mencegah salah laku, selain aspek tadbir urus syarikat berkaitan kerajaan, kepimpinan beretika serta peranan pemberi maklumat dalam mendedahkan kegiatan rasuah.
Majlis perasmian yang diadakan pada Isnin dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya, sebelum diteruskan dengan ucaptama oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang mewakili Premier Sarawak.
Majlis itu turut menyaksikan upacara menandatangani memorandum persefahaman (MoU), manakala pengisian hari pertama memberi tumpuan kepada kerjasama antarabangsa dalam memerangi rasuah menerusi sesi perkongsian kajian kes oleh Drago Kos serta sesi How to Say No to Corruption yang disampaikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Memasuki hari kedua hari ini, program memberi tumpuan kepada tema Using Innovation and Preventing Enablers dengan peserta didedahkan kepada pendekatan penggunaan teknologi dalam usaha mencegah rasuah menerusi sesi How to Prevent Corruption Using Big Data, Open Data and AI yang dikendalikan Nusserwan Talati.
Sesi tersebut berlangsung dalam dua bahagian, iaitu pada sebelah pagi dari 9 hingga 10.30 pagi dan disambung dari 11 pagi hingga 12.30 tengah hari, sebelum peserta mengikuti sesi Preventing Corruption by Fighting Against Enablers yang dikendalikan Richard E. Messick pada sebelah petang.
Pengisian hari kedua itu memberi penekanan terhadap kepentingan memanfaatkan teknologi, data raya dan data terbuka dalam mengenal pasti risiko serta mencegah peluang berlakunya rasuah, di samping memahami elemen yang boleh menjadi pemudah cara kepada amalan berkenaan.
Selain itu, peserta turut didedahkan kepada keperluan memperkukuh sistem tadbir urus dan akauntabiliti dalam organisasi, termasuk syarikat milik kerajaan, bagi memastikan setiap proses membuat keputusan dan pelaksanaan tanggungjawab dilaksanakan secara telus serta berintegriti.
Program akan diteruskan pada hari ketiga dengan fokus kepada Good Governance and Ethical Leadership, merangkumi aspek ketelusan dan akauntabiliti dalam tadbir urus syarikat milik kerajaan serta kepimpinan beretika, sebelum diakhiri pada 5 November dengan tema Reporting Corruption to Enhance Accountability dan majlis penutupan serta penyampaian sijil kepada peserta. - EDISI UKAS