Lebih 30,000 Murid Tahun Enam Terima Enam Buku Pembelajaran Percuma Mulai Januari Depan
SIBU: Lebih 30,000 murid Tahun Enam di seluruh Sarawak bakal menerima enam buku modul dan latihan intensif secara percuma bermula Januari depan bagi memperkukuh penguasaan akademik mereka.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata bahan pembelajaran yang disediakan menerusi Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) itu merangkumi subjek Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains.
Menurutnya, modul berkenaan turut diselaraskan dengan format Ujian Penilaian Program Dwibahasa Sarawak (UP-DLP) bagi membantu murid membuat persediaan lebih terarah.
“Inisiatif tersebut merangkumi modul khusus bagi subjek Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains untuk memperkasakan penguasaan akademik pelajar.
“Kita akan menyediakan modul intensif dan latihan intensif merangkumi 10 set soalan yang kandungannya akan dikemas kini setiap tahun," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn pada Simposium Kepimpinan Digital 2026 di sebuah hotel, di sini, pada Isnin.
Menurut Datuk Dr Annuar, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) telah meneliti, meluluskan, dan mengesahkan buku-buku berkenaan selepas melalui proses penambahbaikan mengikut kesesuaian silibus.
Jelasnya, bahan pembelajaran tersebut kini sedang dalam proses percetakan dan dijangka siap untuk diedarkan kepada murid-murid terbabit menjelang Januari depan.
Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik pengumuman Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mengenai perancangan memasang kemudahan papan pintar di 1,400 sekolah di seluruh Sarawak.
"Saya amat percaya bahawa peralatan dan alat bantu digital adalah langkah ke hadapan untuk memastikan pelajar kita lebih berkemahiran serta mampu menguasai bidang sains dan matematik," ujarnya.
Hadir sama ialah Timbalan Pengarah Pendidikan Sarawak, Dr Les Met; Pegawai Pendidikan Daerah Sibu, Lau Ngie Tung; serta Yang Di-Pertua Persatuan Guru Besar Malaysia Cawangan Sarawak, Bazli Nahrawi @ Banju Omping.-EDISI UKAS