SARIKEI: Penduduk Meradong dan kawasan sekitarnya bakal menikmati akses rawatan dialisis yang lebih dekat dan mudah menerusi pembinaan Pusat Dialisis Tulai bernilai RM3.5 juta yang dijangka mengambil masa setahun untuk disiapkan.
Pusat dialisis berkenaan bakal dilengkapi 15 mesin hemodialisis dengan kapasiti sehingga 90 slot rawatan sehari, sekali gus memudahkan pesakit buah pinggang mendapatkan rawatan secara berkala tanpa perlu melakukan perjalanan jauh ke kawasan lain.
Projek di bawah Rancangan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Khas itu merupakan antara usaha memperkukuh kemudahan perkhidmatan kesihatan setempat, khususnya bagi memenuhi keperluan pesakit yang memerlukan rawatan dialisis secara berterusan.
Pelaksanaan projek berkenaan dijangka memberikan manfaat kepada pesakit dan keluarga, selain meningkatkan akses masyarakat kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih selesa dan berkualiti.
Perkembangan projek itu dimaklumkan semasa Taklimat kepada Petender bagi Projek Pembinaan Pusat Dialisis Tulai, Meradong yang berlangsung di Bilik Mesyuarat IAC Bahagian Sarikei pada Isnin.
Pembinaan pusat dialisis itu diharap dapat meningkatkan kemudahan rawatan kesihatan kepada masyarakat Meradong dan kawasan sekitarnya, sekali gus mengurangkan beban perjalanan pesakit serta keluarga untuk mendapatkan rawatan.-EDISI UKAS