RM94.8 Juta Diperuntukkan Bagi Pembangunan Selangau Dalam Tempoh Dua Tahun
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan pembangunan berjumlah RM94.8 juta bagi kawasan Parlimen Selangau untuk tempoh 2025 hingga 2026, melibatkan pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ir Ts Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud berkata, jumlah berkenaan merangkumi RM52.82 juta yang diluluskan pada 2025 di bawah RMKe-12, manakala RM41.98 juta lagi diperuntukkan bagi 2026 di bawah RMK13.
Daripada jumlah berkenaan, katanya, sebanyak RM17.15 juta telah dibelanjakan pada 2025, manakala RM11.10 juta dibelanjakan bagi 2026 setakat September.
“Ini menjadikan jumlah perbelanjaan terkumpul bagi kedua-dua tahun berkenaan sebanyak RM28.25 juta,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta di Dewan Rakyat, di sini pada Selasa.
Menurut beliau, Kerajaan Persekutuan sentiasa memberi perhatian dan keutamaan kepada pembangunan di Sarawak, khususnya di kawasan luar bandar bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat serta merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.
“Peruntukan berkenaan meliputi sektor utama termasuk infrastruktur dan pendidikan,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau memberitahu Kerajaan Persekutuan akan terus memberi jaminan bahawa pelaksanaan projek pembangunan berkenaan akan terus dipantau bagi memastikan penyampaian yang lebih cepat, cekap dan berimpak tinggi kepada rakyat, khususnya masyarakat luar bandar di Sarawak. -EDISI UKAS