Sarawak Negeri Pertama Bekerjasama Langsung Dengan IACA Tingkat Pengurusan Integriti
KUCHING: Sarawak menjadi negeri pertama di dunia menjalinkan kerjasama secara langsung dengan International Anti-Corruption Academy (IACA) bagi meningkatkan kapasiti pengurusan integriti menerusi program latihan dan perkongsian kepakaran antarabangsa.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya berkata, kerjasama Kerajaan Sarawak menerusi Unit Integriti Dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), Sarawak Centre of Performance Excellence (SCOPE) dan Leadership Institute bersama IACA yang berpusat di Vienna, Austria itu bertujuan memperkukuh agenda integriti, ombudsman dan antirasuah di negeri ini.
“Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menjelaskan bahawa Sarawak sentiasa berusaha meningkatkan program berkaitan integriti, ombudsman dan antirasuah, termasuk mewujudkan sistem bagi memastikan pentadbiran serta pengurusan di Sarawak mencapai standard antarabangsa.
“Kita berasa bangga dengan pihak IACA dari Vienna yang menghulurkan kerjasama kepada Kerajaan Sarawak bagi memastikan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS) 2030 untuk menjadikan Sarawak negeri yang maju dan berintegriti tinggi dapat dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, pada Selasa.
Tambahnya, IACA mempunyai kepakaran antarabangsa dalam bidang pendidikan dan penyelidikan yang mampu membantu Sarawak memperkukuh sistem pentadbiran serta pengurusan bagi mencapai standard antarabangsa.
Menurutnya, Program Kepimpinan Tadbir Urus Serantau Sarawak (SRGLP) sedang berlangsung selama empat hari memberi tumpuan kepada latihan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) dengan kerjasama seterusnya akan diperluaskan kepada Syarikat Milik Kerajaan (SOE) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
Sementara itu, Penasihat Persatuan Pengamal Sistem Pengurusan Antirasuah Malaysia, Tan Sri Dato Setia Abu Kassim Mohamed berkata, kerjasama antara IACA dan Kerajaan Sarawakmerupakan satu pencapaian penting dalam sejarah IACA berdasarkan penglibatan langsung negeri ini dalam usaha meningkatkan kapasiti pengurusan integriti.
Beliau yang pernah terlibat dalam penubuhan IACA dan berkhidmat sebagai Naib Presidennya berkata, program latihan selama empat hari itu menghimpunkan pakar antarabangsa untuk berkongsi kepakaran serta pengalaman masing-masing.
Ujarnya, program berkenaan turut memperkenalkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan integriti kepada CEIO buat pertama kali.
“Ini merupakan satu perkara yang cukup membanggakan kerana kita bergerak selaras dengan trend antarabangsa. Malah, telah dibuktikan bahawa penggunaan AI dalam pengurusan integriti memberikan kesan yang jelas dan berkesan,” jelas beliau.
Hadir sama dalam kunjungan tersebut, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Pengarah UNIONS Wan Mohamad Wan Drahman, Dekan IACA Drago Kos serta kehormat lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini