Loji Rawatan Air Baharu Perkukuh Bekalan Di Rantau Panjang
SIBU: Penduduk Rantau Panjang kini menikmati bekalan air terawat yang lebih baik menerusi pengoperasian loji rawatan air segera berkapasiti lima juta liter sehari yang siap dibina pada Oktober lalu.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata kemudahan itu dibina sebagai satu lagi usaha kerajaan dalam memenuhi keperluan bekalan air penduduk di kawasan berkenaan.
“Selepas loji ini mula beroperasi, saya dimaklumkan tekanan air di kawasan Rantau Panjang menjadi lebih kuat sehingga menyebabkan beberapa paip lama mengalami kerosakan.
“Bagaimanapun, pelarasan telah dilakukan bagi memastikan tekanan air dapat dikawal dan masalah paip pecah akibat tekanan terlalu tinggi tidak berulang,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Sistem Rawatan Air Segera (Acute Water Treatment System) Rantau Panjang di sini, pada Selasa.
Menurutnya, projek yang bernilai RM5 juta berkenaan mula dibina pada Mac tahun ini dan siap pada Oktober menggunakan teknologi terkini bagi membolehkan penduduk terus menikmati bekalan air terawat yang lebih baik dan stabil.
Pada masa sama, beliau berharap semua penduduk menggunakan air secara berhemah dan menghargai bekalan air yang dinikmati setiap hari.
“Kemudahan loji baharu ini merupakan antara usaha kerajaan dalam memastikan keperluan bekalan air penduduk di Rantau Panjang terus diberi perhatian,” katanya.-EDISI UKAS