Ceramah Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Beri Pendedahan Kepada Pemimpin Akar Umbi Asajaya
ASAJAYA: Ceramah Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Peringkat Daerah Asajaya menjadi platform penting dalam memperkukuh kefahaman serta peranan penghulu dan ketua-ketua kampung sebagai pemimpin masyarakat dalam menyampaikan kesedaran berkaitan undang-undang Syariah.
Program anjuran Jawatankuasa Pengurusan Masjid An-Najah dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Bahagian Samarahan yang diadakan di Masjid An-Najah pada Selasa bermula selepas solat Maghrib dengan menampilkan Ketua Unit Penguatkuasaan, Jabatan Agama Islam Sarawak, Ustaz Baharin Kawi sebagai penceramah.
Ceramah berkenaan memberi penekanan terhadap aspek pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang Syariah, termasuk kepentingan pematuhan terhadap peraturan serta ketetapan agama dalam kehidupan bermasyarakat.
Penyertaan penghulu dan ketua-ketua kampung beragama Islam dari seluruh Daerah Asajaya dalam program itu turut membuka ruang kepada peningkatan pengetahuan dan pemahaman mereka mengenai bidang kuasa serta tanggungjawab pihak berkuasa agama dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang Syariah.
Pendedahan tersebut penting bagi membolehkan pemimpin masyarakat memainkan peranan lebih berkesan dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada penduduk, meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pematuhan undang-undang serta menjadi penghubung antara masyarakat dengan pihak berkuasa agama.
Selain itu, program berkenaan turut memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi masjid, agensi agama dan kepimpinan akar umbi dalam usaha membentuk masyarakat yang berpengetahuan, bertanggungjawab serta menghayati nilai-nilai Islam.
Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Asajaya, Hasanah Bujang, Penghulu Asajaya, Dahlan Man, Pengerusi Masjid An-Najah, Daerah Asajaya, Razali Leman, Penghulu Kampung Sambir, Lapok Japar, serta ketua-ketua kampung beragama Islam di Daerah Asajaya.-EDISI UKAS