Setiausaha Kerajaan Sarawak Tinjau Persiapan Akhir Sambutan Hari Perkhidmatan Awam 2026
KUCHING: Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki menghadiri raptai penuh Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Sarawak dan Anugerah Sarawak Civil Service Innovation and Creativity Award (SCSICA) 2026 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) pada Selasa.
Raptai berkenaan diadakan bagi memastikan kelancaran perjalanan majlis yang dijadualkan berlangsung pada Rabu, 4 November 2026, bertemakan ‘Future Ready Civil Service’.
Sambutan tersebut bakal disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Antara pengisian utama majlis termasuk persembahan koir menerusi lagu *Perkhidmatan Awam* dan *An Honour to Serve*, bacaan doa serta lafaz Ikrar Perkhidmatan Awam.
Majlis turut dijadualkan menampilkan ucapan alu-aluan Setiausaha Kerajaan Sarawak, diikuti ucapan Setiausaha Persekutuan Sarawaj, Dato Ahmad Nazri Mohd Hasaan.
Selain itu, tayangan video khas Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Sarawak dan Anugerah SCSICA 2026 turut menjadi antara pengisian majlis.
Kemuncak sambutan bakal menyaksikan penyampaian amanat Premier Sarawak serta anugerah sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan, inovasi dan kreativiti dalam kalangan penjawat awam Sarawak.
Sambutan itu juga menjadi platform menghargai sumbangan warga perkhidmatan awam di samping memperkukuh komitmen ke arah penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, inovatif dan berdaya saing.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak(Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua, Pengarah Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia (HRDM), Jabatan Premier Sarawak, Datu Sharifah Rohana Datu Wan Alwi, Pengarah Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak(MSS), Dr Suffian Jalet.-EDISI UKAS