Sarawak Perkukuh Standard Integriti, Tadbir Urus Setanding Antarabangsa
KUCHING: Sarawak berhasrat memperkukuh standard integriti dan tadbir urus negeri agar selaras dengan penanda aras antarabangsa menerusi kerjasama strategik dengan International Anti-Corruption Academy (IACA).
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, usaha itu merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan Sarawak untuk memastikan kemajuan pembangunan negeri turut diiringi amalan integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang berkesan.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak sedang berusaha menjalinkan kerjasama lebih erat dengan IACA bagi memperkukuh pelaksanaan amalan integriti, selain memanfaatkan kepakaran antarabangsa dalam usaha meningkatkan standard tadbir urus negeri.
“Kita mahu memastikan standard yang dilaksanakan di Sarawak selari dengan standard antarabangsa,” katanya majlis penutupan Sarawak Regional Governance Leadership Programme 2026 di sini pada Khamis.
Datuk Dr Juanda menambah, aspirasi Sarawak bukan sekadar mencapai kemajuan pembangunan, malah turut membina budaya integriti yang kukuh dalam setiap organisasi.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pengiktirafan antarabangsa perlu diterjemahkan melalui pelaksanaan amalan integriti secara konsisten dan bukan sekadar pencapaian di atas kertas.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya terus memperkukuh akauntabiliti, menjunjung kedaulatan undang-undang serta membudayakan penolakan terhadap rasuah dalam pelaksanaan tugas dan tanggungjawab masing-masing.
Beliau turut berharap perkongsian ilmu, kepakaran dan pengalaman menerusi kerjasama dengan IACA dapat dimanfaatkan peserta untuk meningkatkan profesionalisme serta memperkukuh budaya kerja berintegriti dalam organisasi.
Program berkenaan disertai 208 peserta dengan pengisian merangkumi kepimpinan beretika, pencegahan rasuah, akauntabiliti dan penggunaan teknologi dalam memperkukuh tadbir urus.
Turut hadir, Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), Wan Mohamad Wan Drahman, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Centre of Performance Excellence (SCOPE), Joseph Lim Jit Sek dan Ketua Jabatan Latihan dan Pembangunan Kapasiti IACA, Dr Yoojin Choi.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Lonney Jinab
Foto: George S. Embie