MIRI: Kemudahan parkir motosikal berbumbung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbau kini mampu menampung sehingga 200 motosikal susulan pembinaan tambahan sepanjang 44 meter bagi memenuhi keperluan pelajar yang menggunakan motosikal ke sekolah.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pembinaan tambahan itu melibatkan struktur berbumbung selebar enam meter dengan keluasan kira-kira 260 meter persegi.
Menurut beliau, selepas siapnya pembinaan tersebut, keseluruhan kemudahan parkir motosikal berbumbung di sekolah berkenaan kini mempunyai panjang kira-kira 100 meter.
“Lebih 200 pelajar menggunakan motosikal untuk ke sekolah bagi sesi persekolahan pagi dan petang.
“Oleh itu, kemudahan ini amat diperlukan bagi memastikan mereka mempunyai ruang parkir yang mencukupi serta terlindung daripada panas dan hujan,” katanya semasa merasmikan kemudahan infrastruktur tersebut pada Khamis.
Dato Sri Lee menambah, pembinaan tambahan itu dilaksanakan kira-kira dua bulan lalu, manakala kemudahan berbumbung di bahagian lain sekolah berkenaan telah disiapkan lebih dua tahun lalu.
Selain kemudahan parkir motosikal, usaha meningkatkan keselamatan pelajar turut dilaksanakan menerusi penyediaan empat pondok menunggu di kedua-dua belah jalan serta pembinaan lintasan pejalan kaki.
Katanya, kemudahan berkenaan dibangunkan hasil kerjasama dan perbincangan dengan pihak pengurusan sekolah bagi menangani masalah kesesakan ketika ibu bapa menghantar dan mengambil anak masing-masing, khususnya pada waktu puncak.-EDISI UKAS