Sedidik, OCI Terrasus Jalin Kerjasama Sedia Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Untuk Pekerja Industri
KUCHING: Kerjasama strategik antara Sedidik Sdn Bhd dan OCI Terrasus Sdn Bhd bakal memperluas akses kepada kemudahan penjagaan kanak-kanak berkualiti bagi memenuhi keperluan keluarga pekerja sektor perindustrian di Sarawak.
Menerusi kerjasama itu, sebuah pusat penjagaan kanak-kanak dicadangkan dengan kapasiti sehingga 40 kanak-kanak dan waktu operasi dari pukul 6 pagi hingga 7 malam bagi memberikan kemudahan lebih fleksibel kepada ibu bapa yang bekerja.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen untuk memastikan pembangunan ekonomi dan pertumbuhan sektor industri bergerak seiring dengan kesejahteraan pekerja serta keluarga mereka.
“Dalam usaha kita menarik lebih banyak pelaburan dan memperkukuh sektor perindustrian, kita juga perlu memastikan kebajikan sosial pekerja serta keluarga mereka diberikan perhatian dan keutamaan sewajarnya.
“Sarawak yang mesra pelaburan juga perlu menjadi negeri yang mesra keluarga,” ujarnya semasa Majlis Pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) antara Sedidik Sarawak dan OCI Terrasus Sdn Bhd serta Pelancaran Awal Buku Cerita Kanak-Kanak dan Guru Terbitan Sedidik pada Khamis.
Beliau menambah, penyediaan kemudahan penjagaan kanak-kanak bukan sekadar manfaat tambahan kepada pekerja, malah menjadi sebahagian daripada usaha mewujudkan persekitaran kerja mesra keluarga yang dapat meningkatkan kesejahteraan dan produktiviti.
Katanya, menerusi kerjasama tersebut, Sedidik akan menyumbang kepakaran dalam pengurusan pusat penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak, manakala OCI Terrasus menyediakan premis serta berkongsi input dan amalan terbaik dari Korea Selatan.
Pusat yang dicadangkan itu akan menyediakan persekitaran penjagaan yang selamat, kondusif dan berkualiti bagi membolehkan ibu bapa memberikan tumpuan kepada pekerjaan tanpa mengabaikan keperluan anak-anak.
Dalam perkembangan berkaitan, majlis sama turut menyaksikan pelancaran awal Siri Merentasi Generasi Sedidik, iaitu himpunan buku cerita yang memuatkan tujuh karya penulisan guru dan 13 karya kanak-kanak menerusi Young Writers Programme.-EDISI UKAS