RM750,000 Naik Taraf Dua Jalan Pertanian Di Kampung Sepadah
BAU: Dua laluan pertanian di Kampung Sepadah akan dinaik taraf menerusi peruntukan keseluruhan RM750,000 bagi meningkatkan kemudahan akses penduduk ke kawasan pertanian.
Projek berkenaan melibatkan Lorong 11 dan Lorong 28 yang masing-masing menerima peruntukan RM350,000 dan RM400,000.
Bagi Lorong 11, kerja naik taraf melibatkan jajaran sepanjang 620 meter termasuk pembinaan laluan lintasan (crossover) serta pembetung (culvert).
Sementara itu, projek di Lorong 28 melibatkan jajaran sepanjang 722 meter dan 800 meter, termasuk pembinaan pembetung bagi meningkatkan sistem saliran serta kemudahan laluan.
Ahli Jawatankuasa Pemandu GKCDA, Billy Sujang telah mengadakan Lawatan Penentuan Jajaran ke lokasi projek hari ini bagi meneliti laluan serta skop kerja yang akan dilaksanakan.
Kedua-dua projek dijangka memasuki proses tender pada November 2026 sebelum kerja-kerja pelaksanaan dimulakan mengikut jadual yang ditetapkan.
Pelaksanaan projek itu dijangka memberi kemudahan kepada penduduk, terutama golongan petani, melalui akses jalan yang lebih baik, selain meningkatkan keselamatan dan kelancaran aktiviti pengangkutan hasil pertanian.-EDISI UKAS