Pembangunan Bandar Perlu Utamakan Kesejahteraan Rakyat
PETALING JAYA: Pembangunan bandar perlu melangkaui pembinaan infrastruktur fizikal dengan mengutamakan kesejahteraan rakyat, perumahan mampu milik, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar bagi mewujudkan persekitaran kehidupan yang lebih berkualiti.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kejayaan pembangunan sesebuah bandar tidak seharusnya diukur berdasarkan kemajuan fizikal semata-mata, sebaliknya melalui manfaat sebenar yang dinikmati masyarakat.
Menurut beliau, pembangunan bandar yang berkesan memerlukan kepimpinan berwawasan, perancangan berdisiplin serta kerjasama erat antara kerajaan, pihak berkuasa tempatan, golongan profesional, pemaju dan masyarakat.
“Jalan raya, jambatan, bangunan dan sistem digital hanyalah instrumen pembangunan. Tujuan sebenar pembangunan adalah untuk meningkatkan kehidupan harian keluarga dan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Leadership for Better Cities: Our Shared Responsibility sempena Kongres Perancangan Kebangsaan Ke-11 2026 bersempena Hari Perancangan Bandar Sedunia 2026 di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Khamis.
Premier Sarawak menambah, perancangan bandar perlu mengambil kira keperluan harian rakyat, termasuk akses kepada peluang pekerjaan, keselamatan perjalanan ke sekolah, kemudahan awam mesra warga emas dan orang kurang upaya (OKU) serta kediaman yang berhampiran kemudahan asas.
Menyentuh aspek perumahan, beliau menegaskan bahawa kemampuan memiliki rumah bukan sekadar bergantung kepada harga, tetapi turut mengambil kira lokasi, akses pengangkutan awam dan kemudahan perkhidmatan.
Sehubungan itu kataya, Tabung Amanah Sumbangan Perumahan Sarawak (SHCTF) merupakan antara mekanisme dasar yang menyokong tanggungjawab bersama dalam penyediaan perumahan mampu milik.
Beliau turut mengetengahkan peranan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI) dan sistem maklumat geospatial dalam meningkatkan kecekapan perancangan serta pengurusan bandar.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa penggunaan teknologi canggih semata-mata tidak menjamin kemampanan sesebuah bandar sekiranya manfaatnya tidak dapat dirasai rakyat.
“Tiada satu institusi mampu membangunkan bandar yang lebih baik secara bersendirian. Kerajaan, pihak berkuasa tempatan, perancang bandar, pemaju dan masyarakat perlu memainkan tanggungjawab masing-masing," katanya lagi.
Turut hadir,Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak( Pemyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi,Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara, Dato Hilmy Othman, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Dato Mohd Yazid Sairi, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datu Abdullah Julaihi, Presiden Malaysian Institute of Planners, TPr Mazrina Dato’ Abdul Khalid, Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa Malaysia, Datuk TPr Dr Alias Rameli dan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Wira Dr M. Noor Azman Taib.-EDISI UKAS