60 Keluarga Di Muara Tuang Terima Manfaat PPRMS Berjumlah RM485,969
KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 60 keluarga di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang menerima bantuan berjumlah RM485,969 menerusi Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) bagi membolehkan mereka menikmati kediaman yang lebih selamat dan selesa.
Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak berkata, bantuan berkenaan melibatkan kerja-kerja membaik pulih serta menaik taraf rumah daif atau tidak sempurna, sekali gus membantu meringankan beban kewangan keluarga berpendapatan rendah yang berdepan kekangan untuk menanggung kos pembaikan sendiri.
“Sesungguhnya, kediaman yang selamat dan selesa merupakan antara keperluan asas yang penting dalam menjamin kesejahteraan sesebuah keluarga.
“Justeru, bantuan yang disalurkan ini bukan sekadar melibatkan aspek fizikal kediaman, malah diharapkan dapat menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup serta kesejahteraan keluarga penerima,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan Cek PPRMS, di sini pada Khamis.
Dalam perkembangan lain, Ahmad turut menekankan kepentingan kerjasama antara kerajaan, jabatan dan agensi pelaksana, Pusat Khidmat DUN serta pemimpin masyarakat bagi memastikan bantuan disampaikan secara teratur kepada golongan yang benar-benar layak.
Katanya, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) memainkan peranan penting dalam mengenal pasti keperluan penduduk serta menyalurkan maklumat kepada pihak berkaitan bagi memastikan tiada golongan sasar tercicir daripada menerima bantuan.
Hadir sama, Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan Dato Chek Bujang dan Ketua Marqas Operasi Pusat Khidmat DUN Muara Tuang, Aziz Mohamad. -EDISI UKAS