Dua Gol Safawi Ranapkan Cabaran Gangwon, KCFC Raih Kemenangan Sulung Kempen ACL2
KUCHING: Dua gol bekas penyerang kebangsaan, Safawi Rasid menghadiahkan kemenangan sulung Kuching City FC (KCFC) dalam kempen Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) selepas menundukkan wakil Korea Selatan, Gangwon FC 2-0 dalam aksi Kumpulan H di Stadium Taha Ariffin, pada Khamis.
Beliau muncul hero The Cats apabila meledak dua gol dalam tempoh enam minit pada babak pertama untuk memastikan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan tersebut.
Safawi membuka tirai jaringan seawal minit ke-13 menerusi rembatan volley dari luar kotak penalti yang menerjah penjuru kanan gawang Gangwon FC.
Penyerang berusia 29 tahun itu sekali lagi menewaskan penjaga gawang pelawat menerusi rembatan kencang pada minit ke-19, selepas menerima hantaran lintang Ramadhan Saifullah untuk menggandakan kelebihan KCFC.
Terdahulu, KCFC hampir membuka jaringan seawal minit kedua menerusi Jerome Etame, namun gol tersebut dibatalkan selepas dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.
Jerome sekali lagi menggamatkan Stadium Taha Ariffin apabila meledak jaringan pada minit ke-33 menerusi gerakan serangan balas menarik, namun turut dibatalkan kerana ofsaid.
Kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama selepas kedua-dua pasukan gagal menghasilkan jaringan tambahan dalam masa kecederaan selama tiga minit.
Bersambung babak kedua, KCFC terus mengancam kubu lawan apabila Jerome Etame mencipta peluang menerusi hantaran ke dalam kawasan penalti, namun gagal disempurnakan oleh Ramadhan.
Gangwon tampil dengan permainan lemas kemas pada babak kedua dalam usaha mencari jaringan penyamaan, namun pertahanan KCFC kental mempertahankan kelebihan dua gol tersebut hingga wisel penamat. -EDISI UKAS