RM5 Juta Peruntukan Papan Putih Pintar, Lebih 350 Bilik Darjah Di Sarawak Dinaik Taraf
SIBU: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM5 juta tahun ini bagi pemasangan papan putih pintar di lebih 350 bilik darjah sekolah rendah Cina di seluruh Sarawak, sebagai usaha memperluas pendigitalan pendidikan dan memupuk minat murid terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, peruntukan itu meneruskan inisiatif tahun lalu yang menyaksikan sebanyak 369 bilik darjah di sekolah rendah Cina dilengkapi kemudahan berkenaan.
“Usaha itu bukan sekadar menyediakan kemudahan teknologi dalam bilik darjah, tetapi sebahagian daripada strategi jangka panjang Sarawak untuk melahirkan lebih ramai tenaga profesional dan modal insan berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan pembangunan negeri.
“Penekanan terhadap STEM amat penting bagi memastikan Sarawak mampu melahirkan lebih ramai tenaga profesional, pakar dan modal insan berkemahiran tinggi yang diperlukan untuk memenuhi keperluan pembangunan negeri pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua di sini, pada Khamis bagi meninjau kemudahan papan putih pintar yang dipasang di sekolah berkenaan.
Sebanyak 21 bilik darjah di SJKC Chung Hua kini dilengkapi kemudahan itu menerusi inisiatif kerajaan negeri.
Datuk Amar Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, komitmen Kerajaan Sarawak terhadap transformasi pendidikan digital akan diteruskan dengan peruntukan RM16 juta yang dirancang pada 2027 bagi memperluas pemasangan papan putih pintar di sekolah-sekolah seluruh Sarawak.
“Kemudahan itu akan memberi peluang kepada guru dan murid, termasuk di kawasan pedalaman dan luar bandar, menikmati akses lebih menyeluruh kepada sumber pengajaran digital serta kaedah pembelajaran yang lebih berkesan,” ujarnya.
Mengulas sokongan Kerajaan Sarawak terhadap sekolah rendah aliran Cina, beliau berkata Jawatankuasa Perunding Sekolah Cina Sarawak ditubuhkan pada 2020 dengan peruntukan awal RM8 juta.
“Mulai 2022, peruntukan tahunan kepada sekolah rendah aliran Cina ditingkatkan kepada RM12 juta dengan tumpuan awal diberikan kepada projek pembesaran, pembinaan semula dan pemindahan sekolah,” katanya.
Hadir sama Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang Ming Tee, Chieng Jin Ek, Temenggong Dato Vincent Lau Lee Ming, Ahli Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Kaunselor Kevin Lau, Pegawai Pendidikan Daerah Sibu Lau Ngie Tung, Pengerusi Lembaga Pengurusan SJKC Chung Hua Robert Chew Swee Hiong dan Guru Besar SJKC Chung Hua Huong Yew Ho. - EDISI UKAS