The Cats Buktikan Mereka Mampu Bersaing Di Asia - Aidil
KUCHING: Kuching City FC (KCFC) membuktikan kemampuan bersaing di pentas Asia apabila menundukkan wakil Korea Selatan, Gangwon FC 2-0 dalam aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2), sekali gus memberikan suntikan keyakinan besar kepada skuad kendalian Aidil Sharin Sahak.
Ketua jurulatih KCFC itu berkata, beliau berpuas hati dengan kemenangan berkenaan yang bukan sahaja mencerminkan keberkesanan perancangan pasukan, malah memperlihatkan semangat juang serta kualiti permainan anak buahnya.
Menurutnya, kemenangan itu cukup bermakna selepas pasukan melalui beberapa keputusan mengecewakan sebelum ini, sekali gus membuktikan kemampuan pemain untuk bangkit memberikan persembahan lebih meyakinkan.
“Alhamdulillah, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pemain dan seluruh pasukan. Kami tahu betapa pentingnya perlawanan ini dan saya fikir pemain berjaya meraih kemenangan dengan cukup baik.
“Kami merupakan pasukan yang lebih baik malam ini, memperoleh keputusan positif dan bukan itu sahaja, pemain turut mempamerkan persembahan yang bagus.
“Saya sangat menghargai bagaimana mereka berjuang dan menunjukkan permainan bola sepak yang baik di atas padang,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Taha Ariffin, pada Khamis.
Aidil turut menyifatkan kemenangan itu sebagai permulaan positif buat KCFC selepas berdepan kritikan susulan beberapa kekalahan sebelum ini.
“Selepas beberapa perlawanan sebelum ini, banyak perkara negatif diperkatakan apabila kami tewas pada perlawanan sebelum ini, kemenangan ini memberikan suntikan semangat besar kepada pemain, pasukan dan juga kelab,” katanya.
Mengulas aksi cemerlang Safawi Rasid yang meledak dua gol pada minit ke-13 dan ke-19, Aidil menegaskan sumbangan pemain itu tidak seharusnya dinilai berdasarkan jaringan semata-mata.
Menurutnya, Safawi telah menunjukkan komitmen dan bekerja keras sejak hari pertama menyertai pasukan, selain memberikan sumbangan penting dalam permainan.
“Bagi mereka yang memahami bola sepak dan mengikuti perlawanan, bukan mudah untuk menjaringkan dua gol sambil mempamerkan persembahan seperti itu.
“Safawi bukan sahaja bermain baik malam ini, malah sejak hari pertama menyertai pasukan, dia sudah bekerja keras. Kami tahu keyakinannya akan kembali.
“Orang ramai kadangkala hanya melihat seseorang pemain itu menjaringkan gol lalu menganggap dia pemain yang bagus. Namun, sumbangan Safawi jauh lebih besar daripada itu dan malam ini dia membuktikannya menerusi jaringan yang cukup hebat,” katanya.
Beliau pada masa sama mengingatkan bahawa KCFC masih dalam proses membina pengalaman di pentas ACL2 dan memerlukan masa untuk terus berkembang serta meningkatkan tahap persaingan.
Dalam perkembangan lain, Aidil berkata fokus pasukan kini beralih kepada persiapan menghadapi aksi separuh akhir kedua Piala FA menentang Selangor FC pada Ahad ini, dengan keutamaan diberikan kepada pemulihan kecergasan pemain.
Katanya, skuad ketika ini masih kehilangan tujuh pemain akibat kecederaan dan tidak mahu situasi tersebut bertambah buruk menjelang jadual pertandingan yang semakin padat.
“Kami perlu memberikan tumpuan kepada pemulihan pemain dan memastikan tiada lagi kecederaan berlaku. Ketika ini kami sudah kehilangan tujuh pemain dan kami tidak mahu jumlah itu bertambah.
“Pemain perlu berehat, menjaga kecergasan dan bersedia untuk perlawanan menentang Selangor pada Ahad ini,” katanya.
Beliau turut mengambil kira komitmen enam pemain yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan, sekali gus menuntut pengurusan kecergasan lebih teliti bagi menghadapi jadual pertandingan yang padat.
Sementara itu, Safawi berkata beliau menganggap dua jaringan tersebut sebagai hasil sokongan seluruh pasukan, termasuk barisan kejurulatihan dan penyokong yang sentiasa memberikan dorongan.
“Pertama sekali, saya ingin memberikan kredit kepada semua pemain dan jurulatih yang sentiasa memberikan sokongan dari belakang, termasuk seluruh pasukan kejurulatihan dan penyokong.
“Apa-apa pun, kami perlu terus bekerja keras dan meneruskan perjuangan perlawanan demi perlawanan,” katanya.
Mengulas kepulangannya ke skuad kebangsaan selepas menerima panggilan terbaharu, Safawi berkata beliau berasa gembira dan berharap dapat memanfaatkan peluang tersebut sebaik mungkin.
“Sudah tentu mana-mana pemain yang mendapat panggilan untuk mewakili negara akan berasa gembira. Insya-Allah, jika diberikan rezeki, saya akan melakukan yang terbaik untuk pasukan,” katanya. -EDISI UKAS