PRN Sarawak Ke-13: SPR Tetapkan 28 November Penamaan Calon, 12 Disember Hari Mengundi
KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Disember 2026 sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-13 yang melibatkan 82 kerusi DUN.
Pengerusi SPR, Dato' Sri Ramlan Harun berkata, SPR turut menetapkan 28 November sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 8 Disember 2026.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Khas SPR pada Jumaat susulan penerimaan pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sarawak berhubung pembubaran DUN Sarawak Ke-19 pada 26 Oktober lalu.
“Bagi maksud menjalankan PRU DUN Sarawak Ke-13, SPR telah menetapkan tarikh-tarikh penting seperti berikut.
“Hari Penamaan Calon pada 28 November 2026, Hari Mengundi Awal pada 8 Disember 2026 dan Hari Mengundi adalah pada 12 Disember 2026,” katanya dalam sidang media ketika mengumumkan tarikh-tarikh penting PRN Sarawak Ke-13 pada Jumaat.
Dato' Sri Ramlan menambah, SPR turut menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 28 November sehingga pukul 11.59 malam, 11 Disember 2026.
Jelasnya, bagi pilihan raya kali ini, seramai 2,058,781 pemilih layak mengundi berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) terkini yang dikemas kini sehingga 25 Oktober 2026.
"Daripada jumlah itu, seramai 2,034,373 merupakan pengundi biasa, 13,575 anggota tentera serta pasangan, manakala 10,833 lagi terdiri daripada anggota polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan.
"Dari segi persiapan, SPR akan melantik seramai 40,505 petugas bagi mengendalikan proses pilihan raya dengan anggaran peruntukan sebanyak RM174.94 juta," katanya lagi.
Sementara itu, katanya, sebanyak 2,027 pusat mengundi akan digunakan, merangkumi 1,945 pusat mengundi biasa dan 82 pusat mengundi awal dengan keseluruhan 4,588 saluran pengundian.
Malah ujarnya, SPR melantik 82 Pegawai Pengurus Pilihan Raya yang dibantu 305 Penolong Pegawai Pengurus serta akan menubuhkan 82 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau aktiviti kempen sepanjang tempoh yang ditetapkan.
Dalam perkembangan berkaitan beliau memberitahu, SPR memaklumkan permohonan undi pos bagi semua kategori telah dibuka sejak 26 Oktober lalu.
Katanya, tarikh tutup permohonan bagi Kategori 1A yang melibatkan petugas pilihan raya, anggota atau pegawai SPR, anggota polis, tentera dan petugas media ialah pada 25 November, manakala Kategori 1B bagi warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara serta Kategori 1C bagi agensi atau organisasi ditutup pada 20 November 2026.
"Semua permohonan undi pos perlu dibuat secara dalam talian menerusi portal rasmi SPR," katanya lagi.
Sementara itu, pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian masing-masing bermula 23 November menerusi portal MySPR Semak di https://mysprsemak.spr.gov.my, aplikasi MySPR Semak atau talian hotline SPR di 03-8892 7218.
SPR juga akan memperluas pelaksanaan projek rintis Sistem Optical Character Recognition – Voter Attendance (OCR-VA) di semua saluran pusat mengundi melibatkan 82 kawasan DUN Sarawak bagi mempercepat proses semakan dan merekod kehadiran pengundi.
Pelaksanaan sistem berkenaan tidak mengubah tatacara pengundian sedia ada.
SPR turut menggesa semua pengundi yang layak supaya menunaikan tanggungjawab masing-masing pada hari pengundian melalui kempen kesedaran ‘Jom Kita Undi’.
Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha SPR Malaysia Datuk Khairul Shahril Idrus serta Pengarah Pilihan Raya Negeri Sarawak Abang Noraffian Abang Ibrahim.-EDISI UKAS