Pendidikan Perlu Bentuk Murid Berfikiran Kritis, Bersedia Hadapi Era AI
MERADONG: Pendidikan perlu terus membentuk generasi muda yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah memiliki pemikiran kritis, kreativiti, sahsiah dan keupayaan memanfaatkan teknologi bagi menghadapi cabaran era kecerdasan buatan (AI).
Datuk Ding Kuong Hiing berkata, perkembangan teknologi termasuk AI membuka ruang baharu dalam pembelajaran, namun murid perlu menggunakannya secara bijak sebagai alat bantu pendidikan, tanpa mengabaikan keupayaan berfikir, menilai dan menghasilkan idea secara kreatif.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah dan Hari Graduasi SJK (C) Nan Chiew, pada Jumaat.
Menurut beliau, murid perlu terus memupuk sikap ingin tahu, mengembangkan pemikiran kritis serta membina keupayaan membuat penilaian secara bebas, selain melengkapkan diri dengan nilai tanggungjawab terhadap diri sendiri dan masyarakat.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada semua murid yang menerima anugerah atas pencapaian masing-masing, yang merupakan hasil usaha, disiplin, kesungguhan dan komitmen sepanjang menuntut ilmu.
Murid yang belum menerima pengiktirafan turut digalakkan supaya tidak berputus asa, sebaliknya terus memperbaiki diri, belajar daripada pengalaman dan berusaha mencapai kejayaan kerana setiap murid mempunyai potensi tersendiri.
Beliau turut menekankan bahawa pembangunan pendidikan memerlukan sokongan berterusan daripada pihak sekolah, guru, ibu bapa dan masyarakat dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif serta menyokong perkembangan murid secara menyeluruh.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Lembaga Pengurusan Sekolah, pihak pentadbiran dan seluruh warga guru atas dedikasi serta pengorbanan dalam mendidik dan membimbing murid, selain menghargai kerjasama ibu bapa yang sentiasa menyokong usaha pihak sekolah.
Beliau berharap ilmu pengetahuan, pengalaman dan nilai murni yang diperoleh murid sepanjang berada di SJK (C) Nan Chiew menjadi bekalan untuk melangkah ke peringkat pendidikan seterusnya, selain sekolah itu terus cemerlang dalam bidang akademik, kokurikulum dan pembangunan sahsiah murid.-EDISI UKAS