Tempoh Pemprosesan Pekerja Asing Sarawak Dipendekkan Kepada 61 Hari Bekerja
KUCHING: Tempoh pemprosesan permohonan pekerja bukan pemastautin di Sarawak berjaya dikurangkan daripada sekitar 191 hingga 197 hari kepada 61 hari bekerja menerusi pendigitalan dan penyelarasan proses antara agensi.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, kerajaan menyasarkan tempoh pemprosesan itu dikurangkan lagi kepada kurang daripada 40 hari pada masa hadapan.
Jelasnya, pencapaian itu hasil pelaksanaan ‘Foreign Workers Transformation Approach’ (FWTA) yang diterajui Unit Pengurusan Imigresen dan Buruh (ILMU), Jabatan Premier Sarawak.
“FWTA bukan sekadar sistem digital untuk mengemukakan permohonan pekerja asing, sebaliknya merangkumi penambahbaikan proses kerja, penyelarasan antara agensi, perkongsian maklumat dan pemantauan bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
“Antara perubahan ketara yang telah dicapai ialah pengurangan tempoh pemprosesan permohonan daripada sekitar 191 hingga 197 hari kepada 61 hari bekerja melalui pendigitalan dan penyelarasan proses antara agensi yang berkaitan.
“Kerajaan juga menyasarkan agar tempoh tersebut dapat dikurangkan lagi kepada kurang daripada 40 hari pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program SCSIMon ‘Industry Update Kuching’ 2026 sempena Sambutan Bulan Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak, di sini, pada Khamis.
Tambah beliau, penambahbaikan pengurusan pekerja bukan pemastautin perlu dilaksanakan seiring dengan usaha memastikan rakyat Sarawak terus mendapat peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran dan membangunkan kerjaya.
Katanya, kerajaan memahami bahawa sektor industri tertentu masih memerlukan tenaga kerja tambahan bagi memastikan operasi dan aktiviti ekonomi berjalan lancar.
“Oleh itu, pendekatan pengurusan tenaga kerja perlu mengambil kira kedua-dua keperluan ini secara seimbang, iaitu memenuhi keperluan sebenar industri tanpa mengetepikan peluang pekerjaan dan pembangunan bakat tempatan,” katanya.
Beliau berkata, data yang tepat melalui FWTA juga penting untuk membantu kerajaan memahami keperluan sebenar tenaga kerja, memantau perkembangan industri dan membuat keputusan yang lebih berkesan. -EDISI UKAS