Trusan Berpotensi Jadi Hab Logistik dan Perdagangan Sempadan
LAWAS: Kedudukan strategik Trusan berhampiran sempadan Brunei Darussalam berpotensi dimanfaatkan sebagai pusat logistik dan perdagangan, sekali gus membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk setempat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, potensi tersebut perlu disokong melalui perancangan pembangunan yang menyeluruh, termasuk penyediaan infrastruktur dan kemudahan yang mampu merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, peningkatan pergerakan pengguna jalan raya susulan pembangunan rangkaian jalan utama, termasuk Lebuhraya Pesisir Utara (NCH), boleh memberi limpahan ekonomi kepada Trusan sekiranya pekan itu dilengkapi kemudahan yang sesuai untuk menarik orang ramai singgah dan berbelanja.
Beliau turut melihat peluang untuk mengembangkan sektor pertanian, perusahaan kecil dan sederhana serta perdagangan rentas sempadan, mengambil kira potensi hasil pertanian tempatan dan hubungan ekonomi dengan Brunei Darussalam.
Justeru, pembangunan semula Bazar Trusan dilihat sebagai langkah penting dalam menyediakan persekitaran lebih terancang, selain memperkukuh peranan pekan itu sebagai kawasan tumpuan aktiviti perniagaan dan perkhidmatan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Skim Pembesaran Kampung (SPK) Trusan dan Pelancaran Projek Pembangunan Semula Trusan Bazaar di Dewan Masyarakat Trusan, pada Khamis. .
Pelan induk pembangunan semula Bazar Trusan melibatkan kawasan seluas 16.48 ekar telah diluluskan Pihak Berkuasa Perancang Negeri pada 12 Jun 2026, dengan skop merangkumi penyediaan tapak dan infrastruktur, masjid, tamu, amfiteater, boulevard, kawasan parkir treler serta tapak stesen minyak.
Projek berkenaan dianggarkan melibatkan komponen pembangunan LCDA bernilai RM47.9 juta, manakala Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan awal sebanyak RM7 juta. Kerja pembinaan dijangka bermula sebelum suku kedua 2027.
Dalam majlis sama, seramai 15 keluarga yang terlibat dalam pembangunan semula Bazar Trusan menerima kunci rumah baharu jenis Sapphire 1 di SPK Trusan. Rumah berkenaan ditawarkan pada harga RM150,000 seunit berbanding kos pembinaan termasuk penyediaan tapak dan infrastruktur sekitar RM480,000 seunit, selain setiap penerima menerima bantuan deposit perumahan RM10,000.
Secara keseluruhan, sebanyak 30 unit rumah dirancang dibangunkan di SPK Trusan, dengan baki 15 unit dijadualkan memulakan pembinaan pada suku kedua 2027.
Dalam majlis sama, LCDA turut menyampaikan sumbangan Zakat Wakalah kepada golongan asnaf, surau dan masjid, selain sumbangan kepada institusi pendidikan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) LCDA Prihatin.
Hadir sama, Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong; Pengurus Besar LCDA, Datu Sr Haji Zaidi Haji Mahdi; Residen Bahagian Limbang, Unus Tambi serta ketua-ketua masyarakat dan wakil agensi berkaitan.-EDISI UKAS