Premier Sarawak Saksikan Penyerahan Zakat RM4 Juta Maybank Kepada Tabung Baitulmal Sarawak
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyaksikan majlis penyerahan zakat berjumlah RM4 juta daripada Kumpulan Kewangan Islam Maybank kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) di Kompleks Satria Pertiwi, Petra Jaya, di sini, pada Jumaat.
Zakat tersebut diserahkan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Dato’ Sri Khairussaleh Ramli, diiringi Pengarah Wilayah Maybank Sarawak, Abang Jamili Abang Julai, kepada Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha yang mewakili TBS.
Penyaluran zakat itu mencerminkan komitmen Maybank dalam melaksanakan tanggungjawab menunaikan kewajipan zakat, selain menyokong usaha memperkukuh kebajikan dan kesejahteraan masyarakat Islam di Sarawak.
Sumbangan berkenaan turut memperlihatkan kerjasama antara institusi kewangan dengan institusi pengurusan zakat dalam memperluas manfaat kepada golongan yang memerlukan.
Usaha itu sekali gus membantu memperkukuh agenda pembangunan sosioekonomi serta kebajikan umat Islam di Sarawak. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie