Jabatan & Agensi Digesa Segera Tangani Kelewatan Projek Pembangunan Simunjan
KUCHING: Jabatan dan agensi kerajaan digesa mempertingkat pemantauan serta mengambil tindakan segera terhadap projek pembangunan di Daerah Simunjan yang berdepan masalah atau kelewatan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan mengikut jadual.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, setiap agensi perlu memberikan kerjasama sepenuhnya dengan mengemukakan maklumat dan data tepat serta terkini mengenai status pelaksanaan projek bagi membolehkan isu berbangkit dikenal pasti dan ditangani dengan berkesan.
“Saya berharap semua jabatan dan agensi dapat memberikan kerjasama sepenuhnya dengan mengemukakan maklumat serta data yang tepat dan terkini.
“Setiap perkembangan pelaksanaan projek perlu dimaklumkan secara jelas supaya maklumat berkenaan dapat disampaikan kepada masyarakat, khususnya di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Bertindak Daerah Simunjan (DAC) di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), di sini pada Jumaat.
Menurutnya, susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 26 Oktober lalu serta persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13, pemantauan menyeluruh terhadap status terkini projek pembangunan di daerah itu perlu diberi perhatian serius.
Beliau turut mengingatkan agensi yang membuat pembentangan supaya memberi keutamaan kepada projek yang berdepan masalah, khususnya perkara yang memerlukan keputusan, penyelarasan dan kelulusan segera bagi mengelakkan kelewatan berterusan.
Mesyuarat itu turut meneliti perkembangan pelaksanaan projek pembangunan, penyediaan kemudahan infrastruktur serta isu berbangkit yang memerlukan perhatian dan tindakan lanjut daripada jabatan serta agensi berkaitan.
Perbincangan turut memberi tumpuan kepada penyelarasan antara agensi dan pemantauan kemajuan projek bagi memastikan setiap perancangan pembangunan di Daerah Simunjan dilaksanakan secara teratur serta memenuhi keperluan masyarakat setempat.
Hadir sama, Pegawai Daerah Simunjan Sanuyah Mohamad. -EDISI UKAS