Acara Tonggak Sarawak Beri Impak Kepada Masyarakat, Rangsang Ekonomi Setempat
KUCHING: Penganjuran acara-acara tonggak Sarawak bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, malah turut membantu merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan terlibat, khususnya menerusi pelaksanaan pelbagai program di luar Kuching.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, program yang dilaksanakan di kawasan berkenaan bukan sekadar memberi manfaat dari aspek perkongsian ilmu dan pengajaran, tetapi turut menyumbang kepada perkembangan sektor ekonomi setempat.
“Program-program yang kita adakan di luar Kuching bukan hanya memberi manfaat dari segi pengajaran dan perkongsian ilmu, tetapi juga membantu mengembangkan serta meningkatkan sektor ekonomi di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Acara-Acara Tonggak Sarawak 2026 di sebuah hotel termuka, di sini, pada Khamis.
Menurutnya, pelaksanaan acara-acara tonggak turut merangkumi pelbagai aktiviti pembangunan, termasuk perasmian projek jalan raya, bangunan kerajaan serta lawatan kepimpinan negeri ke kawasan yang memerlukan perhatian.
Beliau berkata, kejayaan menjayakan pelbagai program dan aktiviti sepanjang 2026 adalah hasil kerja keras, kerjasama serta sokongan semua pihak, khususnya agensi kerajaan dan rakan strategik yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.
Menurutnya, usaha berpasukan dan komitmen semua pihak telah membolehkan pelbagai program serta aktiviti yang dirancang dilaksanakan dengan jayanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa setiap individu dan agensi memainkan peranan penting dalam memastikan setiap amanah serta tanggungjawab yang diberikan dapat dilaksanakan dengan berkesan, tanpa mengira besar atau kecil skop tugas masing-masing.
Menurutnya, pelaksanaan program dan projek turut berdepan pelbagai cabaran, termasuk perubahan pada saat akhir serta keperluan menangani perkara yang memerlukan tindakan segera, sekali gus menuntut komitmen dan kerjasama berterusan semua pihak.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua, Pengarah Unit Protokol, Istiadat, dan Pengurusan Acara Sarawak Datu Hamdan Sharbini dan Ketua-ketua Jabatan. - EDISI UKAS