Sarawak Pertahan Kuasa Kenakan Levi Karbon, Kawal Selia Perdagangan Karbon
KUCHING: Sarawak mempertahankan bidang kuasa negeri untuk mengenakan levi karbon dan mengawal selia perdagangan karbon menerusi perundangan sendiri, bagi memastikan hasil daripada aktiviti ekonomi berasaskan karbon dapat dimanfaatkan untuk membiayai usaha pemuliharaan alam sekitar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pendirian itu berasaskan bidang kuasa negeri terhadap tanah dan sumber hutan yang menjadi antara aset penting dalam pembangunan ekonomi karbon.
“Di bawah Perlembagaan, percukaian merupakan bidang kuasa Persekutuan, bukannya negeri.
“Namun, kita mempunyai levi karbon sendiri yang akan menjadi sebahagian daripada komponen cukai karbon,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis Malam Apresiasi Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESty) 2026 dan Majlis Pelancaran Strategi Net Zero dan Pelan Karbon Sarawak, di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, Sarawak sebelum ini turut menegaskan kepada Kerajaan Persekutuan bahawa negeri ini mempunyai perundangan sendiri berkaitan pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), sekali gus mengekalkan kuasa negeri dalam mengawal selia aktiviti berkenaan.
Jelas beliau, pendirian sama turut diambil dalam isu levi karbon apabila Kerajaan Persekutuan merancang memperkenalkan cukai karbon di peringkat nasional.
Mengulas lanjut, Datuk Patinggi Abang Zohari menegaskan mekanisme berkenaan turut mengambil kira keperluan pendaftaran perdagangan karbon selaras Artikel 6 Perjanjian Paris yang menetapkan keperluan sistem pendaftaran bagi merekodkan aktiviti perdagangan kredit karbon.
“Daftar tersebut turut merangkumi pelepasan karbon daripada aktiviti eksport Malaysia. Dari segi peruntukan Perlembagaan, tanah dan sumber hutan merupakan bidang kuasa negeri, sekali gus membolehkan Sarawak mengawal selia sumber berkenaan menerusi undang-undang sendiri.
“Sehubungan itu, Sarawak mempunyai kuasa untuk mengenakan levi karbon, manakala hasil kutipan tersebut akan digunakan bagi membiayai usaha pemeliharaan alam sekitar,” ujar beliau lagi. -EDISI UKAS