Agenda Net Zero 2050 Sasar Pelaburan Hijau Bernilai RM347 Bilion
KUCHING: Pelaksanaan Strategi Net Zero Sarawak 2050 disasarkan membuka peluang pelaburan hijau bernilai RM347 bilion serta menyokong pewujudan kira-kira 223,000 pekerjaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pelaksanaan strategi terbabit selari usaha negeri memperkukuh pertumbuhan ekonomi mampan dan mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 35 peratus.
“Strategi itu menyasarkan pengurangan pelepasan karbon sebanyak 35 peratus, selain mewujudkan peluang pelaburan hijau bernilai RM347 bilion dan menyokong kira-kira 223,000 peluang pekerjaan.
“Usaha berkenaan turut menyumbang kepada pencapaian sasaran ‘net zero’ negara serta komitmen iklim global Malaysia,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis Malam Apresiasi Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESty) 2026 dan Majlis Pelancaran Strategi Net Zero dan Pelan Karbon Sarawak, di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau mendedahkan strategi berkenaan dirangka menerusi 15 keutamaan strategik yang merangkumi lapan sektor utama penyumbang pelepasan karbon serta tujuh bidang tindakan merentas sektor.
“Strategi itu memberi tumpuan kepada pengurangan pelepasan karbon daripada sektor tenaga, perindustrian, pengangkutan, bangunan dan pengurusan sisa melalui pelaksanaan pelan tindakan khusus bagi menangani pelepasan karbon dalam setiap sektor berkenaan,” ujar beliau lagi.
Pada masa sama, Datuk Patinggi Abang Zohari menekankan kelebihan Sarawak melalui kawasan hutan, tanah gambut, hutan bakau dan ekosistem lain yang berperanan menyerap karbon, selain menyokong pemeliharaan biodiversiti dan sumber air.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kelebihan sumber semula jadi itu tidak seharusnya menjadikan Sarawak leka, sebaliknya perlu disusuli perancangan dan pengurusan alam sekitar yang berterusan.
Hadir sama, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Setiausaha Tetap MEESty Datu Abang Ahmad Abang Morni serta tetamu kenamaan lain. -EDISI UKAS