Teknologi OCRVA Diperluas Ke PRN Sarawak, Perkemas Pengurusan Kehadiran Pengundi
KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperluas penggunaan teknologi Optical Character Recognition Voters Attendance (OCRVA) ke Sarawak bagi memperkemas pengurusan kehadiran pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Penolong Pengarah Komunikasi Strategik SPR, Nomi Juliana berkata, sistem berkenaan sebelum ini pernah diuji di Negeri Sembilan dan Melaka sebelum diperluas penggunaannya ke Sarawak.
Menurutnya, teknologi OCRVA membantu proses merekod dan mengurus kehadiran pengundi di pusat mengundi bagi melancarkan urusan pengundian.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat SPR kepada pengamal media yang berlangsung di Kuching pada Jumaat.
Taklimat itu turut merangkumi penerangan mengenai proses dan prosedur pilihan raya, pengurusan permohonan undi pos mengikut kategori yang ditetapkan serta peranan pemerhati tempatan dan antarabangsa dalam memantau perjalanan pilihan raya.
Penganjuran taklimat berkenaan bertujuan meningkatkan pemahaman pengamal media mengenai pengurusan pilihan raya bagi memastikan maklumat yang disampaikan kepada masyarakat tepat dan jelas.
PRN Sarawak Ke-13 dijadualkan berlangsung pada 12 Disember 2026, manakala penamaan calon ditetapkan pada 28 November 2026.-EDISI UKAS