Sarawak Tarik Minat Pelabur Antarabangsa Dalam Sektor Teknologi Tinggi
KUCHING: Sarawak terus menarik perhatian pelabur antarabangsa apabila rombongan yang menguruskan dana kekayaan berdaulat dari Kanada dan China sedang meneroka peluang pelaburan dalam sektor teknologi tinggi, termasuk pembangunan pusat data dan industri generasi baharu di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mendedahkan, wakil pelabur berkenaan mengadakan pertemuan dengannya pada pagi Jumaat bagi membincangkan potensi pelaburan, khususnya dalam sektor pusat data dan industri teknologi generasi baharu.
“Hari ini tadi, ada orang yang mengurus dana kekayaan berdaulat Kanada manakala satu lagi dari China, datang bertemu saya pagi tadi untuk meneroka peluang dalam sektor pusat data.
“Saya menjelaskan bahawa Sarawak sangat selektif dalam menerima pelaburan pusat data dengan syarat pelaburan tersebut mewujudkan peluang pekerjaan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis Malam Apresiasi Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESty) 2026 dan Majlis Pelancaran Strategi Net Zero dan Pelan Karbon Sarawak, di sini pada Jumaat.
Malah jelas beliau, pelabur terbabit turut memaklumkan bahawa mereka telah menjalankan kajian mengenai Sarawak sebelum mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri, termasuk menilai asas pembangunan dan potensi yang tersedia.
Selain pembangunan pusat data, katanya, pelabur berkenaan turut meneroka peluang untuk melabur dalam sektor teknologi tinggi dan industri generasi baharu.
Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari, prospek ekonomi Sarawak semakin terbuka kepada pelaburan berteknologi tinggi, namun setiap keputusan pembangunan perlu mengambil kira keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar.
“Pilihan yang kita buat mestilah dirangka supaya terdapat keseimbangan antara pembangunan dengan pemeliharaan alam semula jadi,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan tersebut penting bagi memastikan kemasukan pelaburan dan perkembangan industri tidak menjejaskan kelestarian alam sekitar, sebaliknya menyokong pembangunan ekonomi yang mampu memberikan manfaat jangka panjang kepada Sarawak. -EDISI UKAS