Pembukaan Jambatan Batang Paloh Lonjak Jualan Peniaga Pesta Pulau 2026
DARO: Kehadiran pengunjung yang semakin meningkat sepanjang Pesta Pulau Bruit 2026 memberi kelebihan kepada golongan peniaga apabila peluang perniagaan tahun ini jauh lebih memberangsangkan berbanding edisi terdahulu.
Perubahan itu turut dirasai menerusi peningkatan hasil jualan apabila kemudahan Jambatan Batang Paloh membuka laluan lebih mudah kepada pengunjung dari luar Pulau Bruit untuk menghadiri pesta berkenaan.
Mohd Syurafa Afifi Median, 30, berkata perkembangan positif itu sudah dapat dilihat sejak hari pertama apabila gerainya menerima sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung.
“Alhamdulillah, sambutan pada hari pertama sahaja sudah cukup memberangsangkan. Kehadiran pengunjung kali ini jauh lebih ramai berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya.
Menurutnya, pembukaan Jambatan Batang Paloh memberikan kelebihan kepada penganjuran kali ini kerana perjalanan ke Pulau Bruit menjadi lebih mudah, sekali gus meningkatkan peluang peniaga mendapatkan pelanggan.
Sementara itu, Abdul Qadir Zailani, 31, dari Peladang berkata, penglibatannya selama tiga tahun berturut-turut dalam pesta berkenaan membolehkannya membuat perbandingan terhadap perkembangan sambutan setiap tahun.
“Jika dibandingkan penganjuran pada 2024 dan 2025, sambutan tahun ini menunjukkan perbezaan yang sangat ketara, khususnya dari segi jumlah pengunjung dan penyertaan peniaga,” katanya.
Beliau berkata, pembukaan jambatan berkenaan turut menarik kedatangan pengunjung dari kawasan lebih jauh termasuk Kuching dan Samarahan, yang kini mempunyai kemudahan perjalanan lebih baik untuk ke Pulau Bruit.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Datuk Abdullah Saidol atas kejayaan penganjuran Pesta Pulau Bruit 2026 yang bukan sahaja memeriahkan suasana setempat, malah menyediakan peluang ekonomi kepada komuniti peniaga.
Dalam pada itu, Nur Fazlin Azmi, 36, berkata sambutan luar biasa yang diterima sepanjang pesta berlangsung memberikan pengalaman perniagaan yang lebih positif berbanding penyertaannya sebelum ini.
Katanya, suasana pesta yang lebih meriah dengan kehadiran pengunjung dalam jumlah yang menggalakkan secara tidak langsung membantu meningkatkan potensi jualan peniaga sepanjang acara berkenaan.-EDISI UKAS