The Cats Cipta Sejarah, Tamatkan Cabaran Selangor Untuk Mara Final Piala FA
KUCHING: Kuching City FC (KCFC) sekali lagi mencipta sejarah apabila berjaya mara ke final Piala FA buat kali pertama selepas menyingkirkan juara lima kali, Selangor FC dengan agregat 3-2 hasil kemenangan 2-0 dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Taha Ariffin, pada Ahad.
Lebih manis, kejayaan itu menyaksikan The Cats sekali lagi menjadi penghalang buat Selangor kendalian Kim Pan Gon, yang sebelum ini pernah mencatat 15 perlawanan tanpa kalah sejak pengendali dari Korea Selatan itu mengambil alih pasukan berkenaan.
Rentak cemerlang tersebut sebelum ini turut ditamatkan KCFC dalam separuh akhir kedua Piala Malaysia pada April lalu, dengan kemenangan 1-0 di Kuching.
Kali ini, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak sekali lagi membuktikan keupayaan mereka apabila bangkit mengatasi defisit agregat 1-2 daripada aksi pertama untuk mengesahkan tiket ke final menerusi kemenangan 2-0 selepas masa tambahan.
Beraksi di hadapan lebih 15,000 penyokong sendiri, kedua-dua pasukan gagal menghasilkan jaringan pada separuh masa pertama meskipun saling melancarkan serangan.
Bagaimanapun, peluang terbaik tuan rumah hadir pada minit ke-52 apabila penyerang Jerome Etame dikasari dalam kotak penalti sehingga memaksa pengadil menyemak insiden menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR).
Safawi Rasid yang mengambil sepakan penalti tidak mensia-siakan peluang untuk meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-56.
Jaringan itu menyamakan kedudukan agregat 2-2 dan memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan selepas kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan sehingga tamat 90 minit.
Memasuki masa tambahan, The Cats terus meningkatkan tekanan untuk mencari gol kemenangan, namun keputusan kekal 1-0 selepas tamat separuh masa pertama masa tambahan.
Asakan bertali arus tuan rumah akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-118 apabila hantaran lintang Dylan Halls gagal dikeluarkan dengan kemas oleh benteng pertahanan Selangor, sebaliknya mengakibatkan jaringan sendiri Mukhairi Ajmal.
Menanti KCFC di pentas final juara bertahan, Johor Darul Ta’zim yang terdahulu menundukkan DPMM FC dengan agregat 8-1. - EDISI UKAS