Aidil Pertaruhkan Kepercayaan, Pemain KCFC Balas Dengan Tiket Final
KUCHING: Kepercayaan penuh Ketua Jurulatih Kuching City FC (KCFC), Aidil Sharin Sahak terhadap kemampuan seluruh pemain akhirnya terbalas apabila The Cats mencipta sejarah mara ke final Piala FA buat kali pertama selepas menyingkirkan Selangor FC menerusi kemenangan agregat 3-2, malam ini.
Aidil berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen pemain dalam melaksanakan perancangan pasukan meskipun berdepan jadual perlawanan padat, tempoh pemulihan singkat dan kehilangan tujuh pemain utama akibat kecederaan.
Menurutnya, pemain hanya mempunyai kira-kira 48 jam untuk berehat selepas perlawanan terdahulu, dengan persiapan lebih tertumpu kepada pemulihan fizikal, analisis video dan sedikit latihan taktikal.
“Bukan mudah untuk bermain selama 120 minit dengan hanya 48 jam rehat dan kehilangan kira-kira tujuh pemain utama tetapi saya percaya kepada semua pemain dan malam ini mereka membuktikan bahawa mereka benar-benar mahukan tempat di final.
“Kami tidak merungut mengenai jadual perlawanan, sebaliknya menghormati jadual yang ditetapkan dan memberikan tumpuan kepada persiapan pasukan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Taha Ariffin, di sini pada Ahad.
Kemenangan 2-0 dalam aksi timbal balik separuh akhir di Stadium Taha Ariffin itu menyaksikan Safawi Rasid membuka laluan kebangkitan menerusi sepakan penalti pada minit ke-56 sebelum jaringan sendiri Mukhairi Ajmal pada minit ke-118 memastikan kemaraan bersejarah skuad tuan rumah.
Beliau turut menyifatkan sokongan lebih 15,000 penyokong yang membanjiri stadium dengan warna putih dan hijau sebagai suntikan semangat kepada pemain untuk terus berjuang sehingga wisel penamat.
Mengulas perubahan taktikal yang dilakukan sepanjang perlawanan, Aidil berkata, beliau mengarahkan pemain supaya lebih banyak menggunakan hantaran lintang selepas melihat barisan pertahanan Selangor mula keletihan.
Jelasnya, kemasukan Dylan Wenzel Halls membantu meningkatkan ancaman menerusi hantaran lintang ke kawasan berbahaya, selain memanfaatkan ruang di belakang benteng pertahanan lawan.
“Kami melihat pertahanan Selangor sudah keletihan, jadi kami perlu menggunakan ruang di belakang mereka.
“Saya mahu Dylan Wenzel melakukan lebih banyak hantaran lintang dan saya fikir bukan sahaja beliau, malah pemain lain turut memainkan peranan dengan sangat baik,” katanya.
Mengulas perjalanan KCFC sejak mengambil alih pasukan, Aidil berkata beliau bersyukur kerana berjaya membawa kelab itu ke final Challenge Cup, final Piala Malaysia dan kini final Piala FA. -EDISI UKAS