UKAS lancar Helpdesk Bantu Pengamal Media Sepanjang PRN
KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) akan menubuhkan talian Helpdesk bagi membantu pengamal media mendapatkan maklumat dan bahan rujukan sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
Helpdesk tersebut akan mula beroperasi pada 16 November hingga 11 Disember 2026.
Timbalan Pengarah I, UKAS Mohamed Faizal Shah Ali berkata antara maklumat yang boleh diperolehi melalui Helpdesk termasuk maklumat penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) serta maklumat berkaitan PRN lepas sebagai rujukan pengamal media.
“Helpdesk turut menyediakan maklumat mengenai calon-calon bertanding selepas hari penamaan calon, termasuk aktiviti calon sepanjang tempoh berkempen bagi membantu keperluan liputan media.
“Perkhidmatan tersebut juga akan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti calon-calon serta menyediakan maklumat ramalan cuaca bagi membantu pengamal media merancang tugasan dan liputan sepanjang tempoh kempen,“ katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan taklimat dalam Bengkel NEWS360: Seni Penulisan Berita Dann Laporan Khas Untuk TV, Radio Dan Digital 2026 , di sini pada Isnin.
Pengamal media boleh menghubungi Helpdesk menerusi talian 082-514061 yang beroperasi setiap hari dari 8.30 pagi hingga 5.00 petang, dan disambung dari 6.00 petang hingga 10.00 malam.
Bengkel NEWS360 dianjurkan selama dua hari, bermula 9 hingga 10 November sebagai persediaan pengamal media negeri ini menghadapi PRN yang akan datang.
Sesi terakhir siri program berkenaan disertai seramai 45 peserta daripada pelbagai agensi media tempatan.
Sebelum ini, program seumpamanya turut dianjurkan di Zon Tengah di Sibu, manakala Zon Utara berlangsung di Miri.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Disember sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak, manakala penamaan calon pada 28 November pdan pengundian awal pada 8 Dis. -EDISI UKAS