DARO: Pembukaan Jambatan Batang Paloh menjadi faktor yang menyumbang kepada kemeriahan Pesta Pulau Bruit tahun ini apabila kawasan penganjuran dibanjiri ribuan pengunjung sepanjang tiga hari berlangsungnya acara berkenaan.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab berkata, kemudahan perhubungan yang semakin baik memudahkan penduduk dari kawasan Pulau Bruit dan sekitarnya berkunjung ke Sarikei serta kawasan lain.
Menurutnya, peningkatan pergerakan kenderaan sejak pembukaan jambatan itu turut memperlihatkan perubahan ketara terhadap mobiliti penduduk, khususnya pada hujung minggu.
Beliau berkata, perkembangan tersebut membuktikan bahawa penyediaan infrastruktur bukan sahaja memudahkan urusan perjalanan, malah berupaya merancakkan aktiviti ekonomi dan membuka peluang baharu kepada masyarakat setempat.
“Inilah masanya untuk kita menjual ikan ataupun hasil-hasil pertanian kita untuk dihantar ke Sibu dan Sarikei.
“Jangan anggap jambatan ini sekadar struktur untuk bergambar atau mengambil gambar kenangan, sebaliknya jadikan kemudahan ini sebagai peluang untuk menambah pendapatan dan mencari rezeki,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Pesta Pulau Bruit 2026 di Pusat Pertumbuhan Desa (RGC) Semop, Daro pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan Pesta Pulau tahun ini sebagai antara penganjuran paling meriah dan terbesar, selain berharap acara berkenaan dapat diteruskan pada 2027 dengan pengisian lebih menarik.
Menurutnya, penganjuran pesta itu turut menjadi platform penting untuk menghimpunkan masyarakat, mengeratkan silaturahim serta mempertemukan semula sahabat handai yang telah lama tidak bersua.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada agensi yang terlibat, Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KMKK) serta semua pihak yang berganding bahu menjayakan penganjuran tersebut.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, bagi menyempurnakan majlis penangguhan pesta berkenaan.-EDISI UKAS